PUTRAJAYA, 16 OKT – Kementerian Luar Negeri hari ini menegaskan kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan konflik Palestin-Israel yang menular ke selatan Lubnan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah diarahkan untuk ambil langkah berjaga-jaga termasuk memantau keadaan rakyat di Lubnan.
“Ini termasuklah pasukan pengaman ATM-PBB iaitu MALBATT yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL),
“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berhubung rapat dengan 12 warga Malaysia
serta keluarga yang kini bermastautin di Lubnan,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, rakyat Malaysia disarankan untuk tangguh perjalanan yang tidak penting ke negara itu.
Dalam pada itu, kerajaan turut memutuskan ahli keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia untuk pulang ke tanah air sehingga keadaan keselamatan membenarkan.
“Ini merupakan langkah pro-aktif Kerajaan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara,
“Walau bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa,” katanya.
Konflik Palestin-Israel dilaporkan semakin runcing berikutan pertempuran tercetus di kawasan sempadan selatan Lubnan. Beberapa siri pertempuran tercetus semenjak beberapa hari lalu yang menyaksikan Hezbollah dan Israel saling membalas serangan.
Selain daripada itu, Iran turut mengancam untuk melancarkan serangan terhadap Israel sekiranya Gaza terus dibedil.
Selain Lubnan, Israel telah melancarkan serangan udara terhadap Aleppo dan Damsyik di Syria. – airtimes.my