Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Beret hijau ayah dan abang jadi pendorong sertai komando hingga lulus

Beret hijau ayah dan abang jadi pendorong sertai komando hingga lulus

by Nurulhuda

“Sejak dari kecil selalu melihat ayah yang merupakan seorang anggota komando dari 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK). Bila lihat dia (ayah) semangat tentera makin kuat,” kata Truper Afiq.

Menurut Afiq, perasaan untuk menyertai pasukan khas Tentera Darat Malaysia (TDM) ini makin membara apabila melihat abangnya juga berjaya menyarung beret hijau beberapa tahun lepas.

“Apabila masuk tentera rasa tak puas, sebab komando adalah kepuasan sebenar dalam tentera,

“Tengok abang pun pergi komando, rasa tercabar diri ini. Dari situ lihat abang dan abah saya rasa saya kena pergi jugak komando ini,” ujarnya lagi.

Truper Afiq merupakan salah seorang daripada 19 pegawai dan 59 anggota TDM yang disarungkan beret hijau serta dianugerahkan pisau komando setelah berhempas pulas selama 12 minggu sekaligus bergelar warga GGK.

Beliau turut meluahkan rasa bersyukur kerana berjaya meneruskan kursus Asas Komando ini kerana baginya kekuatan mental dan fizikal merupakan aspek yang paling penting untuk berjaya dalam kursus tersebut.

“Terharu sebab bukan semua orang boleh tempuh kursus ini. Macam-macam kita perlu lalui dalam kursus ini,

“Bukan semua tentera boleh masuk komando ini. Dalam komando, kalau mental, fizikal tidak kuat, rezeki pun tiada, tak boleh lalui latihan-latihan dalam komando ini,” jelasnya lagi.

Bangga dua orang anak ikut jejak langkah dalam komando 

Sementara itu, Pegawai Waran II (B) Bahanuddin Ahmad (Bapa) meluahkan perasaan gembira dan terharu apabila kedua-dua anak lelakinya mengikut jejak langkah dalam komando.

“Saya tahu dimana kelemahan (seorang komando), tahu apa yang kita perlu buat dan hendak rasa. Tak semua orang boleh rasa, sebab saya sendiri pernah alami apa yang mereka lalui,

“Sebab itu saya berbangga apabila anak-anak saya lulus asas komando ini, bukan semua anggota tentera mampu jalani kursus ini,”ujarnya.

Pegawai Waran II (B) Bahanuddin Ahmad rasa berbangga apabila 2 warisnya dapat meneruskan jejak langkah dalam komando. Foto:AIr Times/ Pasri

Beliau yang pernah berkhidmat selama 7 tahun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) sebagai penyelia Asas Kursus Komando juga berharap agar kedua-dua mereka dapat meneruskan legasinya sehingga tamat perkhidmatan.

“Harapan saya agar kedua-dua anak saya maju dalam Tentera Darat dan sampai ke tahap pencen macam saya yang berkhidmat 26 tahun,” katanya lagi.

Kursus Asas Komando merupakan satu-satunya kursus yang perlu dilalui oleh seorang anggota TDM sebelum layak disarungkan dengan ‘beret hijau’ komando.

Latihan lasak yang luar biasa perlu dilalui oleh setiap pelatih selama 3 bulan yang mencabar ketahanan mental dan fizikal merangkumi beberapa peringkat seperti kem, hutan, paya serta laut.

Lazimnya, pada setiap kali pengambilan anggota komando tidak semua yang berjaya, malah lebih separuh daripada mereka gagal untuk menamatkan latihan dan kembali menjadi anggota tentera biasa.

Mereka diuji dengan pelbagai bentuk latihan seperti jalan lasak sejauh 160 kilometer (km), mendayung bot tempur secara taktikal sejauh 120km, ikhtiar hidup di dalam paya serta latihan perairan. -airtimes.my

#pertahanan #GGK #airtimes #komando

Related Articles

Leave a Reply