Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tumpuan kerana ini merupakan pertama kalinya belanjawan di bawah Kerajaan Perpaduan.
Memperkasa Ekonomi Madani ialah dasar menyeluruh Kerajaan Perpaduan yang berhasrat untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini.
Umumnya, dasar yang bakal diumumkan nanti berteraskan kepada dua sasaran iaitu menjadikan Malaysia Peneraju Ekonomi Asia dan memastikan Kehidupan Rakyat yang Berkualiti.
Melihat pada aspek kedua iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, ia bukan semata-mata pada keselesaan ekonomi tetapi juga keselamatan dan kejituan pertahanan.
Mempunyai keselamatan dan pertahanan yang baik dapat menyumbang kepada kelancaran aktiviti ekonomi dan perniagaan seterusnya menjelmakan sumber pendapatan yang stabil.
Industri petroleum dan gas misalnya yang menjadi penyumbang utama pendapatan negara akan menjadi tidak bermakna sekiranya keselamatan kawasan perairan di mana letaknya harta berharga ini lompong.
Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM23. 8 bilion pada suku pertama 2023, naik 2.0 peratus berbanding RM23. 4 bilion suku sama tahun sebelumnya.
Tahun lalu, Petronas mencatatkan keuntungan bersih terbesar dalam sejarah sebanyak RM101.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Justeru, sehingga diumumkan petang ini, berapakah jumlah peruntukan yang akan diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pembentangan Bajet 2024.
Tahun lalu MINDEF menerima peruntukan sebanyak RM18.3 bilion untuk terus memperkukuhkan keselamatan negara.
Daripada jumlah itu sebanyak RM4 bilion bagi perolehan aset baharu dalam meningkatkan kesiagaan pertahanan.
Ini menunjukkan sehingga 60 peratus diperuntukkan bagi emolumen manakala bakinya bagi perbelanjaan pembangunan.
Pada Bajet 2022, peruntukan sebanyak RM16.14 bilion diberikan yang mana hanya pertambahan terlalu kecil iaitu kira-kira 1.78 peratus berbanding peruntukan tahun lalu iaitu RM15.86 bilion.
Berbanding pertahanan, sektor pendidikan kekal pada tahun-tahun lalu menerima peruntukan terbesar.
Tahun lalu Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan sebanyak RM55.6 bilion manakala pada 2022 pula RM52.6 bilion.
Secara purata KPM memperoleh 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.Perbandingan ini bukan bertujuan mempertikaikan keperluan pendidikan, cuma ingin menunjukkan dua perbezaan angka kementerian tersebut.
Jika peruntukan KPM dibahagikan dua, jumlahnya masih lagi tinggi iaitu sekitar RM27 bilion berbanding apa yang diberikan kepada MINDEF.
Jika melihat pada rancangan pemodenan yang telah dirangka, MINDEF sepatutnya diberikan peruntukan yang menepati dengan keperluan untuk diagih-agihkan.
Disebabkan bajet pertahanan yang diterima MINDEF setiap tahun adalah sederhana, maka agak sukar untuk kita membuat andaian apakah aset-aset yang boleh dibeli dengan peruntukan sebanyak itu.
Secara umumnya, jangkaan pembelian yang dikehendaki ATM seperti sistem artileri mudah gerak (SPH) berkaliber 155mm termasuk infrastruktur bagi kekuatan sebuah rejimen.
Perolehan SPH merupakan antara projek yang menjadi keutamaan dalam meningkatkan keupayaan kuasa tembakan Rejimen Artileri Diraja.
Perolehan aset lain ialah sistem pertahanan udara aras rendah untuk Tentera Darat memandangkan jangka hayat kelengkapan sedia ada hampir berakhir.
Pembelian boleh dilakukan secara sedikit demi sedikit asalkan aset-aset baharu ini dapat dibekalkan kepada pasukan terlibat.
Dengan ketiadaan sistem Jernas, Tentera Darat kekurangan satu kekuatan memandangkan Jernas adalah aset yang terbaik semasa dibeli 20 tahun lalu.
Seterusnya helikopter untuk ketiga-tiga cabang dalam ATM.
Ini kerana setiap pasukan mempunyai kehendak dan keperluan berbeza dalam pengangkutan udara.
Walaupun Tentera Darat akan menerima dua daripada empat helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk secara sewaan tahun ini, tetapi keputusan untuk membuat perolehan baharu perlu dilakukan segera.
Sekiranya kerajaan muktamad dengan keputusan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) versi baharu, maka persediaan kemudahan perlu dirancang.
Ini kerana banyak kem-kem Askar Wataniah kekurangan daripada segi kemudahan asas atau jika ada dalam keadaan tidak diselenggara dengan baik.
Belum diambil kira fasiliti berek atau asrama kepada pelatih jika jumlah yang hendak ditempatkan nanti ramai. Semua ini memerlukan kos tambahan. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Kolumnis #Bajet2024