KUALA LUMPUR, 9 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penggubalan dasar negara perlu mengambil kira isu tempatan walaupun mendapat saranan dari organisasi antarabangsa.
Beliau menyatakan perkara tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan telah menamatkan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan digantikan dengan Ekonomi Madani.
Jelasnya, dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini adalah berdasarkan gesaan Bank Dunia.
“Dalam Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, tidak ditekankan soal nilai, tatakelola dan permasalahan tempatan – umpamanya berlaku di dalam Malaysia,
‘Kerana itu (dasar) hanya kerangka universal global (yang) ada baiknya,
“Tetapi kelemahannya kerana tidak memberikan penekanan atau permasalahan semasa,” katanya semasa menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau menegaskan, walaupun pandangan dan saranan Bank Dunia memberikan manfaat, ia mempunyai kelemahan tersendiri.
“Kefahaman mereka tentang soal agama, nilai dan permasalahan tempatan itu tidak sepantas pemikir serta ahli-ahli ekonomi tempatan,
“Walaupun kita mengambil kira beberapa pandangan pakar-pakar internasional termasuk Bank Dunia, jangan (kita) hanya menciplak dan kemudian menjadikan ini sebagai agenda negara seperti mana yang berlaku dalam Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.
Anwar Ibrahim turut menyatakan saranan dari peringkat antarabangsa tidak meliputi beberapa faktor setempat seperti hutang negara dan defisit.
Perdana Menteri menambah, beliau masih mahu menekankan perancangan mahupun dasar negara mesti merangkumi pelbagai faktor setempat.
“Saya masih mahu menekankan bahawa bagi Malaysia sekarang dan insya Allah masa depan di kalangan generasi lanjut, anak anak muda bila merangka apa-apa dasar jangan hanya berpuas hati dengan istilah-istilah yang memukau dari acuan barat,
“Tetapi (dasar negara) ada kekuatan untuk memberikan takrifan dan nilai tempatan
“Yang berakar kepada kefahaman agama dan akhlak di negara kita,” ujar beliau. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #PerdanaMenteri #Parlimen