Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat #Pertahanan: 23 RAMD perlu bersatu padu, hormati kesucian Panji Rejimen – Sultan Kedah

#Pertahanan: 23 RAMD perlu bersatu padu, hormati kesucian Panji Rejimen – Sultan Kedah

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=AUh8oT8r_Ek[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 4 OKT – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar semua warga Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) sentiasa bersatu padu, mengambil langkah sederap (serentak), untuk menghormati kesucian Panji-Panji Rejimen.

Baginda bertitah, ia sejajar dengan perkembangan senario peperangan yang dinamik dalam pelbagai dimensi.

Sehubungan itu, titah baginda, seluruh warga pasukan perlu memantapkan kesatuan, serta meningkatkan kesiapsiagaan keupayaan tempur, untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara tercinta.

“Beta amat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh batalion ini dalam melaksanakan amanah yang diberi oleh rakyat jelata. Sehubungan itu, beta menaruh sepenuh kepercayaan bahawa batalion ini akan terus dapat mengekalkan keyakinan tersebut,

“Kotakanlah ikrar yang anda lafazkan pada hari ini agar Malaysia tetap terpelihara daripada sebarang ancaman petualang negara,” titah baginda selepas berkenan menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Rejimen kepada Batalion Ke-23 RAMD di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Beta percaya bahawa penganugerahan yang baharu ini, akan menjadi denyut nadi kepada seluruh warga batalion untuk terus mencurahkan kesetiaan dan khidmat bakti dengan lebih cemerlang dan terbilang di masa hadapan – Titah Sultan Kedah.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah setiap lapisan warga pasukan perlu mempertahankan asas profesionalisme ketenteraan melalui amalan nilai-nilai rejimental untuk menyokong agenda membina negara pada masa hadapan.

“Teguhkanlah disiplin dan sentiasalah berusaha untuk meneruskan wadah perjuangan bagi menghadapi segala kemungkinan yang bakal mendatang,

“Ingatlah, anda semua merupakan sebahagian nadi, dalam memacu tonggak kecemerlangan dan tekad rakyat untuk menjadi bangsa yang berjaya dalam kelangsungan menghirup udara kemerdekaan. Janganlah sampai kita alpa dan leka, kerana kelak kita sendiri yang akan binasa,” titah baginda lagi.

Terdahulu, Sultan Sallehuddin berkenan memeriksa perbarisan dianggotai seramai 23 pegawai dan 386 anggota daripada Batalion ke-23 RAMD yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah.

Baginda kemudian turut berkenan untuk menepung tawar Panji-Panji Rejimen berkenaan sebelum memberikan tabik hormat.

Titah baginda, pengurniaan Panji-Panji Rejimen kepada Batalion ke-23 RAMD ini adalah sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan batalion berkenaan dalam mempertahankan kedaulatan bangsa dan memelihara keamanan negara.

Mengiringi baginda ke istiadat berkenaan Kolonel Yang Di-Pertua RAMD, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Batalion 23 RAMD merupakan batalion ke-23 dianugerahkan Panji-Panji Rejimen daripada keseluruhan 26 batalion RAMD.

Batalion ini secara rasminya ditubuhkan pada 1 Mac 1979 yang kini berusia 44 tahun.

Dengan Cogan Kata ‘Hubbul Watan Minal Iman’, Batalion ini memegang kepada pengorbanan demi cinta dan kasih sayang untuk tanah air, agama, nusa dan bangsa adalah separuh dari iman. -airtimes.my

#pertahanan #PanjiPanji #23RAMD #TDM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply