Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the server-ip-memory-usage domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home2/airtim2021/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Insiden di Siam Paragon: TMJ kongsi detik cemas, bersyukur selamat dari insiden tembakan – Air Times News Network
Home Pertahanan dan Keselamatan Insiden di Siam Paragon: TMJ kongsi detik cemas, bersyukur selamat dari insiden tembakan

Insiden di Siam Paragon: TMJ kongsi detik cemas, bersyukur selamat dari insiden tembakan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa bersyukur apabila beliau dan keluarganya berada dalam keadaan selamat selepas berdepan detik cemas susulan insiden tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok, Thailand, petang semalam.

Tengku Mahkota Johor berada di Bangkok untuk menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT dan BG Pathum United.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, TMJ menceritakan situasi cemas yang dilalui mereka sekeluarga apabila penembak mula melepaskan tembakan dan orang ramai mula meluru masuk ke dalam lobi hotel di mana mereka menginap, untuk mendapatkan perlindungan.

“Kami membawa anak-anak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya,

“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku,” tulis TMJ lagi.

Ketika kejadian, Tunku Ismail berkata, orang ramai dari pusat beli-belah itu menjerit serta berlari masuk ke dalam hotel di mana beliau bersama keluarga, pasukan keselamatan dan pegawainya sedang duduk di lobi.

Tambah TMJ lagi, apa yang difikirkannya ketika itu hanya untuk membawa keluarga dan pasukannya keluar dari situasi bahaya secepat mungkin.

Mereka kemudian dibawa ke Kedutaan Singapura yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

“Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku. Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu,

“Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis,” katanya lagi.

Jelas TMJ, kini mereka sekeluarga berada di kedutaan, dan telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk memaklumkan situasi semasa.

“Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh,

“Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua,” ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan 3 maut, manakala 4 cedera dalam kejadian tembakan yang berlaku kira-kira jam 4.20 petang (waktu tempatan) di pusat beli-belah tersebut.

Pihak berkuasa juga telah menahan seorang suspek yang berusia 14 tahun kira-kira jam 5.10 petang.

Kejadian tersebut menyebabkan ratusan pengunjung pusat beli-belah itu ketakutan dan melarikan diri.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tembakan itu.

Jelasnya, pihak keduataan kini sedang memantau rapat insiden berkenaan.

“Rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian itu boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi kedutaan,” katanya seperti dilapor Bernama. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?