Home Semasa Ringankan beban kos sara hidup rakyat agenda Kerajaan Perpaduan – Anwar

Ringankan beban kos sara hidup rakyat agenda Kerajaan Perpaduan – Anwar

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 OKT –  Kerajaan Perpaduan kekal komited meneruskan program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani, meskipun kadar inflasi dalam negara telah mereda kepada 2.0 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh hampir dua tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif berkenaan diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup rakyat.

Anwar dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023 hari ini, berkata sebanyak tiga kertas pertimbangan dan dua kertas makluman menjurus isu kos sara hidup dibentangkan pada mesyuarat itu.

“Mesyuarat telah berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang dilaksanakan sejak Februari 2022.

“Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat kepada akses bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya supaya rakyat mengetahui harga perlu dibayar dan mampu untuk membuat pilihan.

Beliau berkata adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga, dengan mesyuarat tersebut bersetuju supaya perkara itu diperincikan oleh kementerian sebelum dimuktamadkan.

“Kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula sekiranya tiada tindakan segera dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia.

“Sehubungan itu, kesemua perkara ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan,” kata Anwar, menambah mesyuarat itu turut mengambil maklum perancangan serta pelaksanaan Pangkalan Data Utama Kerajaan (PADU) oleh Kementerian Ekonomi.

Menurut Perdana Menteri, agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) diarahkan supaya lebih proaktif untuk bertindak sebagai agensi pengedar beras putih tempatan (BPT) terutama bagi kawasan pedalaman.

Beliau berkata ia adalah sebagai usaha mengurangi kesulitan rakyat dalam mendapatkan bekalan beras susulan langkah intervensi yang diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat juga mendapat penjelasan daripada Bank Negara Malaysia, bahawa bank utama dan penyedia perkhidmatan e-dompet yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR telah mengumumkan akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.

Selain itu, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) juga akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos ditanggung oleh penyedia perkhidmatan pembayaran terutamanya penyedia bukan bank yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil.

Dalam pada itu, Anwar mengulangi penekanan agenda utama Kerajaan Perpaduan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat diberikan perhatian serius agar mereka menerima manfaat secara terus bagi setiap inisiatif dan strategi yang dilaksanakan.

Beliau turut menyeru semua agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) yang perlu bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia MADANI terus diperkukuh.

Mesyuarat berkenaan dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri berkaitan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, pemain industri, NGO, wakil pertubuhan dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli Majlis NACCOL. – BERNAMA

#AirTimes #Malaysia #Semasa #SaraHidup #Gula #Telur #AnwarIbrahim

Related Articles

Leave a Reply