Home Semasa #Semasa: Wisma Putra sahkan penahanan individu warga Malaysia dalam kegiatan pengintipan di Norway

#Semasa: Wisma Putra sahkan penahanan individu warga Malaysia dalam kegiatan pengintipan di Norway

by M.Daim

PUTRAJAYA, 12 Sept – Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini mengesahkan penahanan seorang individu yang dipercayai warganegara Malaysia di Norway.

Menurutnya, perkara tersebut disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm.

“Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Oslo, Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes ini,

“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Terdahulu, pihak berkuasa keselamatan Norway melaporkan penahanan seorang individu yang didakwa pelajar Malaysia pada Jumaat lalu.

Individu berusia 25 tahun terbabit ditahan oleh Politiets sikkerhetstjeneste (Perkhidmatan Keselamatan Polis Norway) selepas mengesan isyarat misteri di kawasan bangunan kerajaan.

Media Norway memetik kenyataan pihak berkuasa negara itu yang menolak sebarang penglibatan agensi kerajaan Malaysia dalam kegiatan pengintipan oleh individu terbabit.

Tambahnya, mahkamah Norway telah membenarkan pihak berkuasa keselamatan negara Scandanavia itu untuk menahan individu terbabit selama 4 minggu bagi melakukan siasatan.

Laporan itu juga menyebut usaha pihak peguam bela mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Norway. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply