GERIK, 24 Ogos – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM30 juta bagi kerja-kerja naik taraf Jalan Raya Timur Barat (Jalan Persekutuan FT04) yang menghubungkan Gerik-Jeli.
Dana itu adalah tambahan kepada peruntukan penyelenggaraan jalan berkenaan sebanyak RM45.676 juta yang telah diluluskan tahun ini menjadikan jumlah keseluruhannya kira-kira RM76 juta.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara tersebut pada majlis Pelancaran Kempen MYJALAN KKR di Jeti Awam, Pulau Banding di sini.
Menurutnya, untuk permohonan kewangan yang lain, beliau akan mempertimbangkan permohonan tersebut dalam Belanjawan MADANI ke-2 pada bulan Oktober.
“Untuk jalan-jalan ini walaupun permintaan itu banyak, tetapi nanti saya akan kaji dalam Belanjawan MADANI ke-2, bulan Oktober. Hari ini, saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.
Hadir sama Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Pada majlis sama Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian wang sagu hati sebanyak RM1,000 kepada 87 orang bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat untuk menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan.
Pembinaan laluan ini yang juga merupakan ‘Lebuhraya Pertahanan’ dibina sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis semasa era Insurgensi pada 1970.
Sepanjang tempoh pembinaannya juga menyaksikan pekerja Jalan Kerja Raya (JKR) diserang oleh komunis pada 27 Ogos 1974 yang mengorbankan tiga nyawa dan meninggalkan kecederaan kekal kepada mereka terlibat.
Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan yang dibuka 41 tahun lalu memendekkan perjalanan dari Utara ke pantai Timur.
Jalanraya sepanjang 123 kilometer ini juga dahulunya menempatkan pos-pos kawalan tentera bagi mengekang ancaman pengganas komunis.
Sementara itu dalam majlis di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Kem Ulu Kinta, Perdana Menteri turut memaklumkan kesediaan kerajaan menyediakan peruntukan tambahan bagi memperbaiki dan menyelenggara kuarters polis.
Tegasnya, dana tambahan itu akan dimohon dalam bajet akan datang.
Menurut Anwar, beliau diberitahu bahawa hanya 40-60% daripada projek perumahan ini boleh didiami, manakala selebihnya tidak selamat.
“Insya-Allah pada bulan Oktober (di bawah bajet 2024), kami akan cuba mendapatkan dana tambahan untuk perumahan.
“Paling penting, kami akan menyediakan pembiayaan segera untuk pembaikan asas, kemudian yang lain boleh diuruskan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan baru-baru ini bahawa beliau telah meluluskan tambahan RM200 juta untuk menaik taraf kemudahan dan perumahan warga tentera di seluruh negara.
Manakala RM40 juta untuk perumahan polis, termasuk penempatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESCOMM). – airtimes.my