Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat #Pertahanan: UKMTD’23 – 10 Briged Para juara bertahan 4 kali berturut-turut

#Pertahanan: UKMTD’23 – 10 Briged Para juara bertahan 4 kali berturut-turut

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=zHPZHgh25hw[/embedyt]

 

MELAKA, 30 Jul – Formasi Tentera Darat (TD) 1 yang diwakili oleh 10 Briged (10 Bgd) PARA sekali lagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) bagi Tahun 2023.

Anugerah tersebut adalah yang keempat bagi 10 Bgd Para sejak menjuarai UKMTD pada tahun 2018, 2019 dan 2022.

Sebanyak 11 markas formasi telah telibat dalam UKMTD 2023 dan kategori Unit Besar telah disandang oleh Gerup Gerak Khas (GGK).

Manakala, juara Unit Kecil bagi UKMTD telah disandang oleh 10 Bgd (PARA).

Terdahulu, UKMTD Tahun 2023 yang diadakan sejak 21 Julai lalu secara rasminya telah melabuhkan tirainya pada hari ini.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman di Lapang Sasar Kem Terendak, Melaka.

Mohammad menegaskan, setiap warga Tentera Darat Malaysia (TDM) perlu memiliki kemahiran menembak dengan baik.

“Seorang anggota yang terlatih mesti berupaya mengendalikan sekurang-kurangnya senjata persendirian secara effektif,

“Terutamanya ketika berada di dalam persekitaran yang penuh tekanan, ketidaktentuan dan bahaya sebagaimana yang dihadapi ketika pertempuran,

“Dengan perolehan senjata moden dan canggih oleh Tentera Darat, pengendali atau penembak perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kemahiran untuk mengendalikan senjata berkenaan dengan cekap,” katanya ketika berucap selepas Majlis Penutup UKM TD 2023 di Lapang Sasar Kem Terendak, hari ini.

Pertandingan akhir menembak diantara formasi diadakan pada hari ini sempena Majlis Penutup Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) bagi tahun 2023. Foto: AirTimes/N.Huda

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi membolehkan kemahiran ini dikuasai, latihan atau pertandingan menembak secara berterusan hendaklah dilaksanakan di pasukan dan formasi melalui pelaksanaan LIMT bagi mempertajamkan keupayaan dan kemahiran menembak setiap anggota ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, pertandingan UKMTD ini merupakan salah satu wardah yang dapat meningkatkan kemahiran menembak anggota TD.

“Ianya dianjurkan dengan tujuan untuk menilai kemampuan dan tahap kemahiran pengendalian senjata seorang anggota tentera dalam pasukan Tentera Darat yang mewakili setiap formasi yang bertanding,

“Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk mengaplikasikan manual Ujian Kemahiran Tentera Darat yang sedang dilakukan uji semula. Ia juga dapat mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam kalangan penembak untuk diketengahkan ke pertandingan menembak yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Seramai 715 pegawai dan anggota daripada Formasi Pemerintahan dan Divisyen menyertai pertandingan pada kali ini.

Raja Muda Selangor, Kapten Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menyertai pertandingan Jatuh Piring bagi UKMTD 2023, . Foto: AirTimes/N.Huda

Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu acara wajib dan acara sampingan. Acara wajib adalah acara Raifal Lelaki, Pistol Lelaki, Senjata Bantuan iaitu MGKA dan MGR, Lorong Hutan dan Serangan Seksyen. Manakala, acara sampingan terdiri daripada acara Raifal dan Pistol Wanita, Pegawai Kanan dan Pegawai Muda, Sniper serta Jatuh Piring.

Selain itu, Raja Muda Selangor, Kapten Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mencemar duli hadir ke Pertandingan Akhir Acara Jatuh Piring Jemputan dan Formasi sempena UKMTD pada kali ini.

Sarjan Iskandar Saifuddin Abdullah dari Trup TD 2 dinobatkan sebagai Jaguh UKMTD bagi tahun 2023.-Foto: AirTimes/Huda

Sementara itu, Sarjan Iskandar Saifuddin Abdullah dari Trup TD 2 dinaikkan pangkat ke Staf Sarjan serta merta setelah dinobatkan sebagai Jaguh UKMTD bagi tahun 2023.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat dan Panglima 10 Briged (PARA), Mejar Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal selaku penganjur UKM TD 23.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply