Home Semasa #Semasa: Ibu pejabat Tesla dibuka di Selangor tahun ini – PM

#Semasa: Ibu pejabat Tesla dibuka di Selangor tahun ini – PM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Jul – Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ibu pejabat kenderaan elektrik Tesla bakal dibuka di Selangor tahun ini.

Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan maya Perdana Menteri bersama pemilik Tesla yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk, hari ini.

Dalam sidang video itu, Perdana Menteri mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke negara ini.

“Saya mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia,

“Turut mengucap tahniah dan dukungan kerajaan atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain Anwar, sidang video tersebut turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.

“Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050,” tambahnya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, beliau turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas.

Ini terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

Beliau menjelaskan, inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply