Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Arwah gugur sebagai wira, saya bangga dengannya – Bapa

Arwah gugur sebagai wira, saya bangga dengannya – Bapa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun – “Meskipun dia terkorban ketika menjalani latihan, saya bangga dengan arwah,” luah bapa kepada pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang meninggal dunia akibat terkena bom lempar ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, semalam.

Masdi Md Isa, 57, turut menyifatkan anaknya Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPP Kls 1) yang meninggal dunia semalam sebagai seorang wira negara.

“Arwah sudah menjalankan tanggungjawabnya kepada pasukan dengan menurut perintah menjalani latihan,

“Saya anggapnya sebagai wira, saya bangga dengannya. Sudah takdirnya terkorban ketika menjalani latihan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Rawa Hulu, Lenggeng, seperti di lapor Harian Metro.

Terdahulu, TUDM dalam kenyataan melaporkan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (INSTAR) maut selepas dipercayai terkena bom lempar yang dikatakan meletup ketika latihan.

Mengulas lanjut, Masdi berkata, beliau akur dengan ketentuan itu dan tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam insiden bom lempar yang dikatakan meletup ketika sesi latihan menembak serta bom lempar, tengah hari semalam.

“Saya pasrah dan terima seadanya. Sudah ditentukan tuhan, malah saya bersyukur kerana dia sudah berjuang hingga ke nafas terakhir,

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh anggota serta pegawai yang terbabit kerana menunaikan permintaan saya sepanjang proses pengebumian, ia memudahkan saya,” katanya.

Menurut pihak TUDM, jenazah Allahyarham telah dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawa, selepas solat Asar.

Sementara itu, Jurulatih INSTAR, Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin turut terkorban telah diterbangkan menggunakan pesawat EC 725 AP TUDM dari Rejimen 4 Artileri Diraja (4 RAD) Kem Segamat ke Kolej Vokasional Kemaman, pagi tadi.

Jenazah dikebumikan di kampung isteri beliau, Puan Nur Faziera Izam di Kampung Tok Kapur, Kemaman, Terengganu.

Manakala, seorang lagi jurulatih INSTAR, Khairuzaman Lokman, 35, dari Kluang yang sedang dirawat di Hospital Segamat, dilaporkan stabil. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply