Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Insiden latihan menembak: Lembaga penyiasatan terdiri daripada pakar letupan

#Pertahanan: Insiden latihan menembak: Lembaga penyiasatan terdiri daripada pakar letupan

by Bernama

SEREMBAN, 27 Jun – Lembaga Penyiasatan yang ditubuhkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengenal pasti punca insiden letupan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat Seremban semalam akan terdiri daripada panel terlatih terutama dalam bidang letupan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan berkata siasatan itu akan dilakukan dengan teliti merangkumi pelbagai aspek termasuk kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan latihan berkenaan.

“Kita tak boleh sebarang penyiasat, mesti orang yang pakar dan terlatih dalam pengendalian bahan letupan untuk kita kenal pasti punca sebenar kejadian itu. Jika ada apa-apa, kita akan ambil pengajaran semasa menjalani latihan (seterusnya).

“Saya tak dapat pastikan bila ia akan diselesaikan tapi badan siasatan telah dilantik, bukan senang, Panglima Tentera Udara pun dah pergi ke tempat kejadian pagi tadi dan lihat bagaimana keadaan di situ, Alhamdulillah ada saksi iaitu seorang pakar pengendalian bahan letupan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri istiadat pengebumian penuntut Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, yang terkorban ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di kem itu, semalam.

Selain Mohd Iqmal yang disahkan maut di tempat kejadian pada 12.10 tengah hari itu, jurulatih Koperal Udara Syuib Bidin, 33, meninggal dunia pada 5.45 petang ketika menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor manakala jurulatih Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, Mohamad berkata SOP penggunaan senjata sedia ada sememangnya ketat dengan dikendalikan pakar pengendali letupan selain setiap pelatih akan diiringi jurulatih ketika proses latihan.

Beliau dan seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian anggota dalam kejadian itu dan turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengguris perasaan ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, Allahyarham Mohd Iqmal selamat dikebumikan kira-kira 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rawa Ulu, Lenggeng mengikut istiadat ketenteraan.

Lebih 500 orang termasuk warga ATM menghadiri pengebumian itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply