Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Jadikan saya calon ‘pilihan terakhir’ untuk PAS – Annuar Musa

Jadikan saya calon ‘pilihan terakhir’ untuk PAS – Annuar Musa

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 12 Jun – Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa hanya mahu dijadikan sebagai ‘pilihan terakhir’ sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana ia bukanlah matlamat utamanya menyertai parti berkenaan.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tidak kisah jika tidak bertanding, namun menyerahkan urusan penentuan calon kepada pucuk pimpinan.

Tegasnya, beliau menyertai PAS bukan sebagai calon semata-mata sebaliknya ikhlas untuk berjuang demi kepentingan agama dan bangsa Melayu.

“Saya tidak bertanding pun tidak mengapa, asalkan UMNO tak menang,

“Jika diberikan mandat untuk bertanding, saya perlu berbincang dengan pucuk pimpinan PAS, bagi mengetahui untuk tujuan apa saya diamanahkan berbuat demikian,

“Kalau tidak, boleh sahaja bagi peluang kepada anak muda atau calon dalam kalangan ahli PAS yang sudah lama dengan parti ini, lagipun, saya masih baru dalam PAS,” katanya yang ditemui selepas Program Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat Pakat Pertahan ‘PAS Pilihanku’ di Kota Bharu, malam tadi, seperti dipetik Berita Harian.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar sah menjadi ahli PAS selepas beliau secara suka rela menghantar borang keahlian untuk menyertai parti itu baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana ahli PAS berhak untuk menjadi calon asalkan memberi kemenangan buat parti.

Namun, jelasnya, PAS masih belum memutuskan untuk memberikan tempat kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, itu.

“Kerusi (untuk Annuar) belum putuskan lagi, tapi mana-mana ahli PAS berhak jadi calon yang sesuai dan dapat memberikan kemenangan, semua orang boleh jadi calon, kita tak putuskan lagi,” ujarnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply