Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Gagalkan cubaan seludup burung murai bernilai setengah juta ringgit antara kejayaan 5 RS

Gagalkan cubaan seludup burung murai bernilai setengah juta ringgit antara kejayaan 5 RS

by Nurulhuda

Anggota TENTERA DARAT MALAYSIA (TDM) bukan hanya ditugaskan untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), malah pasukan beroperasi juga berupaya membanteras segala kegiatan penyeludupan termasuk barangan terkawal terutamanya di sempadan negara.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS), Leftenan Kolonel Aliff Sufian Ahmad Shahuddin memaklumkan, pasukannya juga pernah menggagalkan aktiviti penyeludupan binatang perliharaan iaitu burung murai ke negara luar.

“Pernah satu kejadian, kami berkolaborasi dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dimana, terdapat sebuah bot yang mencurigakan di perairan. Kemudian, anggota saya dijemput untuk naik ke atas bot bagi menjejak bot yang dikatakan itu,

“Selang berapa minit, pasukan TLDM dapat memintas sebuah bot yang membawa muatan burung murai kampung yang merupakan barang yang diseludup dari Malaysia ke negara jiran,

“Jumlah sebenar burung yang ditahan itu adalah sebanyak 1,980 ekor dan berjumlah lebih kurang RM500,000 ,” jelasnya kepada Air Times.

Pasukan 5 RS merupakan salah satu Batalion Infantri yang ditubuhkan berperanan untuk mengawal keselamatan sempadan dari sebarang bentuk aktiviti pencerobohan, penyusupan serta kegiatan jenayah terutamanya di kawasan utara dan pantai timur semenanjung.

Aliff Sufian berkata, penglibatan pasukan 5 RS di kawasan operasi di bahagian selatan negara merupakan penugasan yang pertama dan ia menjadi satu penghargaan kepada pasukannya.

“Aturgerak operasi di sebelah selatan ini merupakan penglibatan yang pertama,

“Mendapat kepercayaan oleh Tentera Darat untuk mengaturgerakkan pasukan 5 RS ke kawasan yang tidak pernah kami beroperasi merupakan satu suasana yang agak lain dan misi yang diberikan berlainan dari arahan yang selalu diterima,

“Sudah pasti ia menjadi satu penghargaan kepada saya bagi menunjukkan bahawa sebagai sebuah pasukan yang tidak pernah beroperasi di sini dapat mencapai kejayaan yang baik bagi kawasan tanggungjawab (KTJ) Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd),” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukannya juga tidak pernah berdepan dengan tangkapan penyeludupan barang-barang terlarang seperti dadah, rokok, arak dan sebagainya sepanjang melaksanakan operasi tersebut.

“Selain itu, kami juga tidak pernah menerima apa-apa ugutan dan ancaman dari pihak ketiga yang mungkin mempunyai kepentingan ke atas PATI-PATI yang ditahan,

“Saya rasa bersyukur kerana perjalanan operasi ini berjalan dengan lancar tanpa insiden yang boleh menjejaskan nama baik pasukan dan TDM,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply