Home Semasa Orang Melayu miskin lepas saya tidak jadi Perdana Menteri – Tun Mahathir

Orang Melayu miskin lepas saya tidak jadi Perdana Menteri – Tun Mahathir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu menjadi miskin selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau berusaha memulihkan keadaan orang Melayu apabila menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Tetapi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan saya pun hilang jawatan. Sebab itu saya mengeluh sekarang,

“Saya menyertai usaha untuk menyedar orang Melayu akan masalah mereka dengan pelancaran proklamasi Melayu,

“Isi kandungan proklamasi berkenaan menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosialnya, hari ini.

Minggu lalu, Dr Mahathir mendakwa perhimpunan Proklamasi Orang Melayu tidak dapat dianjurkan disebabkan campur tangan kerajaan.

Beliau turut mendakwa, Kerajaan Perpaduan hari ini takut untuk sekiranya salah laku mereka akan terbongkar apabila orang Melayu bersatu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mendakwa tindakan kerajaan menghalang pihak lain melancar proklamasi tersebut merupakan mengkhianat janji dalam Perlembagaan Negara.

“Perhalangan pelancaran ini bermakna Kerajaan Anwar menolak Perlembagaan negara dan Perlembagaan UMNO,

“UMNO tidak membantah kerana UMNO tidak lagi pegang kepada matlamat penubuhannya. Sebab itu puak lain perlu diadakan untuk melindungi hak orang Melayu dan bumiputera lain,

“Apabila Kerajaan menghalang pihak lain melancar proklamasi ini, ia mengkhianat janji dalam Perlembagaan Negara,

“Sebab itu orang Melayu patut tentang Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” ujarnya lagi.

Tun Dr Mahathir turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dakwaan beliau menggunakan kedudukan untuk membolot kekayaan ketika berkuasa.

Jelasnya, membuat tuduhan adalah satu perkara mudah tetapi dakwaan yang tidak dibuktikan dengan jelas tidak boleh diterima sebagai benar dan merupakan satu fitnah.

“Saya ingin dapat bukti dari Anwar bahawa saya bolot untuk saya, untuk keluarga saya dan anak-anak saya,” jelasnya lagi.

Ketika berucap pada Kongres PKR minggu lalu, Anwar merujuk kepada seseorang berkuasa selama 22 tahun dan dicampur 22 bulan yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk kekayaan dirinya dan keluarga.

Walaupun Anwar tidak menyebut nama, beliau berkata, pemimpin itu hanya merungut tentang orang Melayu kehilangan segala-galanya selepas tidak lagi berkuasa.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply