Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Belanjawan 2023: Mana janji manifesto PH? – Muhyiddin

Belanjawan 2023: Mana janji manifesto PH? – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum dapat memulihkan semula ekonomi negara secara lebih berkesan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, setelah membuat perbandingan, pembentangan Belanjawan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak langsung menyentuh janji manifesto PH sebelum ini.

“Terdapat banyak janji dalam manifesto PH yang tidak ditepati atau tidak disentuh langsung di dalam Belanjawan ini. Cukuplah jika saya sebutkan yang utama sahaja iaitu pertama, Dana Peruntukan Kawasan sama rata kepada semua wakil rakyat, tak ada,

“Kedua, komitmen Kerajaan untuk menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau, tiada,

“Ketiganya, janji-janji dalam bidang pendidikan seperti Program Pemansuhan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40, pun tidak ada,

“Memperkenalkan Biasiswa B40 dan menambah peruntukan program sarapan percuma, yang tidak disentuh dalam ucapan pembentangan. Mungkin ini tidak penting bagi Ahli Parlimen Tambun (Anwar Ibrahim),” jelasnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mempersoalkan, adakah Ahli Parlimen Tambun berani mengakui janji-janji manifesto PH sekadar retorik politik sahaja?.

“Bagaimana pula dengan janji-janji manifesto parti-parti lain dalam kerajaan campuran?

“Ini termasuk janji Barisan Nasional untuk memperkenalkan Skim Bantuan Pendapatan Asas di mana kerajaan akan mengkreditkan top up secara automatik ke dalam akaun semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM2,208 sebulan. Itu ada dalam manifesto, mungkin tidak diguna lagi” ujarnya.

Menurutnya, bagaimana rakyat hendak berdepan dengan situasi perbelanjaan berganda menjelang pembukaan semula sekolah, ketibaan bulan puasa dan persediaan menghadapi Aidilfitri yang semakin hampir?

“Semua ini terpaksa dilalui rakyat dalam keadaan beban kos sara hidup yang terus meningkat dan kadar inflasi yang tinggi,

“Kita tidak mendengar apakah penyelesaian sebenar kepada masalah kos sara hidup rakyat daripada pembentangan Belanjawan ini,

“Inilah adalah sesuatu yang amat malang kerana harapan rakyat yang paling utama adalah kerajaan segera menyelesaikan masalah kos sara hidup yang kian meningkat ini,

“Sepatutnya menjadi keutamaan nombor 1 Perdana Menteri dan kerajaan. Tetapi YB Tambun nampaknya ambil sikap acuh tak acuh sahaja hendak menyesaikan masalah kos sara hidup rakyat. Difahamkan mesyuarat kos sara hidup terakhir pada 13 Disember lalu,” tegasnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply