ARIZONA, 6 Mac – Helikopter tempur AH-64 Apache milik Tentera Darat Amerika Syarikat (US Army) telah mencapai 5 juta jam penerbangan.
“Dengan pencapaian melebihi 5 juta jam penerbangan, Apache terus menjadi sebuah helikopter yang berkemampuan, versatil dan berkeupayaan,” kata Katie Yursky, timbalan presiden interim Program Helikopter Tempur Boeing.
Menurut Boeing dalam satu kenyataan, 5 juta jam penerbangan adalah bersamaan pengoperasian tanpa henti AH-64 Apache untuk tempoh 570 tahun dan 9 bulan.
“Dari 5 juta jam penerbangan terbabit, 1.3 juta daripadanya adalah penerbangan tempur,” kata kenyataan itu.
AH-64 telah melakukan penerbangan ulungnya pada tahun 1984. US Army telah mengoperasikan AH-64 model A, D dan E. Pada ketika ini, pasukan tentera negara kuasa besar itu mengoperasikan AH-64D dan AH-64E.
Pada ketika ini, Boeing sedang meningkatkan keupayaan AH-64 E kepada Version 6.5 yang merangkumi perisian yang dikemaskini dan integrasi enjin baharu.
Helikopter tempur AH-64 dioperasikan oleh 19 pasukan tentera diseluruh negara. Pada September 2022, Poland telah memilih AH-64E Apache sebagai helikopter tempur baharu untuk pasukan tenteranya. – airtimes.my