Home Semasa Misi SAR: Denti dan Frankie dari Batang Kali ke Turkiye

Misi SAR: Denti dan Frankie dari Batang Kali ke Turkiye

by Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Dua ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie, menjadi sandaran misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Selain Denti dan Frankie, penghantaran pasukan penyelamat kedua dari Malaysia turut disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Tujuan kita bawa anjing pengesan ini adalah untuk memaksimumkan tugasan apabila berada di sana nanti (kerana) peranan anjing pengesan ini sangat membantu dalam usaha mengesan lokasi di mana mangsa berada.

“K9 ini adalah antara pasukan atau unit yang termasuk dalam misi mencari dan menyelamat SMART, jadi mereka ini memang bersedia untuk di atur gerak ke mana-mana (lokasi di) luar negara,” kata Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Ismail Abd Ghani kepada media semasa pelepasan misi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, malam tadi.

Beliau berkata kedua-dua anjing dipilih menyertai misi itu kerana memiliki kepakaran mencari mangsa hidup dan mayat.

Ditanya sama ada Denti dan Frankie mampu bertahan dalam penerbangan ke Istanbul yang dijangka mengambil masa 11 jam, Ismail berkata perkara itu tidak menjadi masalah.

“Anjing ini antara penilaian semasa perolehan dulu adalah ia boleh dibawa melalui penerbangan udara, jadi tidak ada masalah untuk penerbangan yang lama kerana kita dah uji sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata Denti dan Frankie sebelum ini pernah terlibat dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis lepas.

Katanya Denti, anjing daripada baka Labrador, dan Frankie daripada baka English Springer Spaniel, masing-masing akan dikendali oleh pegawai bomba Tony Anak Albert Mani dan Y Thibagaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata kedua-dua anjing itu akan dibawa bersama untuk memastikan pasukan penyelamat Malaysia dapat melaksanakan operasi SAR dengan lebih berkesan.

Beliau juga berkata pihaknya dimaklumkan ketika melaksanakan misi SAR, pasukan pertama SMART yang sudah tiba di Gaziantep berdepan beberapa cabaran yang agak besar iaitu cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta faktor keselamatan geopolitik.

Selain Denti dan Frankie, penghantaran pasukan penyelamat kedua dari Malaysia turut disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Namun begitu, semangat seluruh anggota yang terlibat tetap tinggi dan cabaran yang dihadapi dapat ditangani dengan kerjasama Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD) Turkiye.

“Saya juga ingin menyeru rakyat Malaysia keseluruhannya agar dapat mendoakan keselamatan dan kesihatan pasukan SMART supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.

Isnin lepas, Malaysia menghantar pasukan SMART yang dianggota 70 anggota ke Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti.

Dalam pada itu, tiga pengamal media iaitu dua petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) iaitu Wartawan Meja Jenayah Mohd Firdaus Md Saisi dan Jurugambar Hairul Nizam Baharin serta Jurukamera Radio Televisyen Malaysia Mohd Adzam Jamaluddin turut menyertai pasukan penyelamat kali ini untuk membuat liputan di kawasan bencana.

Mohd Firdaus berkata meskipun ini kali pertama dihantar bertugas ke luar negara, beliau bertekad memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Saya teruja kerana ini merupakan kali pertama diberi peluang membuat liputan bencana di luar negara dan keadaan di sana difahamkan masih lagi berisiko.

“Saya ditugaskan selama 10 hari bersama jurugambar dan kami akan memberikan liputan terbaik dan terkini mengenai keadaan di sana,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam berkata Malaysia akan turut menyalurkan sumbangan lebih AS$2 juta (lebih RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan juga sedang mempersiapkan pasukan doktor dan paramedik daripada Angkatan Tentera Malaysia untuk menggerakkan hospital medan di Turkiye.

Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang manakala jumlah mangsa yang cedera ialah 40,910 setakat ini.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply