Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen: Pihak luar tiada hak masuk campur tangan undang-undang Malaysia

Imigresen: Pihak luar tiada hak masuk campur tangan undang-undang Malaysia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekali lagi menegaskan, pihak luar tidak berhak untuk menganggu atau campur tangan dalam perkara yang menyentuh urusan kedaulatan dan undang-undang Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ia termasuk dalam urusan pengeluaran visa dan pas kepada warga asing untuk tinggal atau bekerja di negara ini.

Jelasnya, dengan merujuk kepada serbuan terbaru ke atas sebuah petempatan di Nilai Spring, Negeri Sembilan, minggu lalu, kedutaan asing juga tidak mempunyai kuasa mengeluarkan sebarang bentuk Pas bagi membenarkan rakyat mereka menetap di Malaysia walaupun untuk tempoh sementara.

Beliau dalam kenyataan memaklumkan, merujuk kepada kenyataan oleh NGO Migrant Care yang diterbitkan dalam laporan berita di portal berita Malaysiakini pada 7 Februari yang bertajuk ‘Petempatan warga asing di Nilai Spring bukan haram, kata Migrant Care’.

NGO yang berpangkalan di Jakarta itu menjelaskan, penempatan yang diserbu itu bukan ‘petempatan haram’ kerana ia dibina di atas sebidang tanah persendirian yang dikaitkan dengan majikan yang mengupah sekumpulan pekerja Indonesia pada awalnya untuk aktiviti melombong pasir di kawasan berkenaan kira-kira sembilan tahun yang lalu.

Pemandangan dari udara sebuah perkampungan di Nilai Spring yang diserbu Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada 1 Februari lalu. – Foto: Bernama

Khairul Dzaimee menegaskan, fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak ialah individu yang ditahan dalam operasi bersepadu di Nilai Spring itu membabitkan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Tiada mana-mana pihak boleh mempersoalkan kewajaran Imigresen melaksanakan operasi membanteras PATI kerana ia adalah tugas hakiki jabatan ini,” tegasnya.

Dalam operasi 1 Februari lalu, seramai 68 individu warga Indonesia diperiksa dan 67 individu berusia antara 2 bulan hingga 72 tahun ditahan JIM.

Antara kesalahan dikenal pasti adalah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Malaysia juga dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila mereka melanggar undang-undang Imigresen negara berkenaan.

“Justeru, semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara,” tegasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply