Home Semasa Gempa bumi Turkiye: Malaysia cadang bina hospital medan bantu pasukan SAR

Gempa bumi Turkiye: Malaysia cadang bina hospital medan bantu pasukan SAR

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Selain menghantar bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Malaysia turut merancang untuk menyalurkan sumbangan dengan mewujudkan hospital medan atau field hospital di Turkiye, susulan gempa bumi yang melanda negara itu 2 hari lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun memaklumkan, ia masih tertakluk kepada keperluan dan situasi di sana.

“Kementerian Pertahanan ada menyiapkan pasukan doktor dan paramedik Angkatan Tentera (ATM) yang boleh bergerak selari dengan kegiatan SMART di Turkiye, membentuk field hospital yang boleh digerakkan dalam tempoh 48 jam,

“Tetapi ini masih menunggu pengesahan, apakah ada keperluan (untuk diwujudkan),” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, pada Rabu.

Selain itu, Anwar turut memaklumkan kumpulan kedua SMART akan digerakkan ke Turkiye malam ini, susulan keberkesanan peranan pasukan pertama yang dihantar ke Turkiye pada malam Isnin lalu.

Jelasnya, ia akan membabitkan seramai 70 anggota, iaitu masing-masing 20 daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, selain bantuan, kerajaan turut bersetuju menyalurkan dana termasuk sumbangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Di Syria situasi lebih rumit kerana masalah penerbangan dan kos tinggi tetapi kita telah bersetuju menyalur dana AS$1 juta bersama sumbangan Sultan Johor yang berkenan menyalurkan AS$1 juta melalui sumbangan yang diselaras kerajaan,

“Saya difahamkan, Majlis Agama Wilayah Persekutuan akan membuat sumbangan tambahan sebanyak RM10 juta,

“Kita harap bantuan dari rakyat yang simpati ini akan disalurkan kepada Turkiye. Manakala, sumbangan ke Syria akan disalurkan melalui Pertubuhan Palang Merah,” jelasnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply