Home PolitikBarisan Nasional Tindakan pecat, gantung pemimpin UMNO tak ikut proses perundangan – Ismail Sabri

Tindakan pecat, gantung pemimpin UMNO tak ikut proses perundangan – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, beliau tidak bersetuju dengan keputusan parti itu yang memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya.

Bekas Perdana Menteri itu membantah keputusan berkenaan atas alasan pemecatan dan penggantungan yang dibuat tidak mematuhi proses perundangan serta bertentangan dengan prinsip keadilan asasi seperti hak membela diri.

“Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan tersebut atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip ‘natural justice’ seperti hak membela diri.

“Tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka dan tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan 6 tahun keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu turut menegaskan, sepatutnya jika yang menuduh tidak puas hati maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri.

“Beliau boleh membawa saksi. Tuduhan perlu dibuktikan,

“Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO,” ujarnya lagi.

Kemudian tambahnya, jawatankuasa pengurusan UMNO perlu berbincang dan membawa cadangan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan.

“Bagaimanapun, proses ini tidak dilaksanakan. Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan Presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh,

“Maka saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung mereka,” tegasnya.

Tambahnya, sebagai sebuah parti yang bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply