KUALA LUMPUR, 21 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersiap sedia sebilang masa demi menjaga keamanan dan keselamatan negara serta sedia membantu dalam apa jua situasi sekiranya diperlukan.
Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, selaku formasi yang bertanggungjawab di seluruh Semenanjung Malaysia, pihaknya telah mengaturgerakkan trup dan aset bagi membantu mangsa di kawasan terjejas sejak 7 Oktober lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata, seramai 59 pegawai dan 1,213 anggota telah diaturgerakkan ke lokasi-lokasi yang terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu sejak Sabtu.
Selain itu, sebanyak 28 buah trak, 13 buah bot serta pelbagai peralatan tambahan perairan turut diaturgerak bagi melaksanakan operasi menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan lawatan ke kawasan yang terjejas banjir di negeri-negeri Pantai Timur.
Dalam lawatannya, Ahmad Zahid menyeru agar tambahan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digunakan bagi menyelesaikan isu logistik dalam membantu mangsa dan penghantaran barang keperluan ke lokasi terjejas.
Muhammad Hafizuddeain turut menjelaskan, pihaknya telah mengarahkan agar aset-aset tambahan diaturgerak ke lokasi berkenaan bagi melancarkan Operasi Murni tersebut.
“Bagi membantu pihak kerajaan, hari ini, 21 Disember 2022 akan dilaksanakan bantuan tambahan atur gerak 4 buah Trak 7 Ton di Terengganu,
“Manakala, di Kelantan sebanyak 2 buah Trak 5 Ton serta 2 buah Trak 7 Ton, untuk membantu penghantaran bekalan makanan dan pemindahan mangsa di kawasan-kawasan yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Banjir di seluruh daerah di Terengganu mencatatkan jumlah mangsa pada pagi Rabu mencecah 40,456 orang berbanding 39,500 mangsa pada tengah malam Selasa.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sehingga jam 8 pagi Rabu, kesemua mangsa dari 11,197 keluarga itu ditempatkan di 299 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri itu.
Sementara itu, Kelantan pula merekodkan sejumlah 31,487 mangsa melibatkan 9,055 keluarga manakala 252 mangsa daripada 62 keluarga di Pahang. -airtimes.my