Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM kaji SOP operasi kapal berusia, elak ditimpa insiden malang HTMS Sukhotai

TLDM kaji SOP operasi kapal berusia, elak ditimpa insiden malang HTMS Sukhotai

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menyatakan pihaknya akan mengkaji semula kesemua SOP berkenaan sea wothiness (kelayakan pelayaran) dan penugasan kapal-kapal yang berusia.

Menurutnya, 58 peratus kapal-kapal TLDM adalah jauh lebih berusia daripada kapal Tentera Laut Diraja Thailand (RTN), HTMS SUKHOTAI yang tenggelam pada 18 Disember lalu.

“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa kapal-kapal kita,

“Tanpa apa-apa tindakan drastik dari kerajaan dalam menangani isu bajet pertahanan sekaligus isu keusangan aset-aset kita, masalah ini akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang,

“Dalam masa yang sama, TLDM akan mengkaji semula kesemua SOP berkenaan “sea worthiness” dan penugasan kapal-kapal kita yang jauh lebih tua berbanding HTMS Sukhotai

“Ini adalah bagi mengelakkan risiko perkara serupa daripada berlaku ke atas kapal-kapal kita,” kata TLDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Pada masa yang sama, TLDM merakamkan ucapan takziah kepada angkatan laut negara jiran berikutan tenggelamnya kapal kovet RTN di Teluk Siam.

“Warga TLDM berharap dan mendoakan semoga warga HTMS Sukhotai yang masih hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat,

“TLDM amat memahami keadaan dan situasi yang dihadapi pengurusan tertinggi RTN apatah lagi warga kapal tersebut yang terpaksa melaksanakan operasi dalam situasi laut yang bergelora dan keadaan kapal yang berusia 35 tahun,

“Pastinya terdapat banyak cabaran dan kekangan yang dilalui bagi memastikan kapal berkenaan siap siaga untuk diaturgerak sebilang masa,” kata kenyataan itu.

Dalam kejadian pada tengah malam Isnin lalu, sebuah kapal kovet milik RTN dilaporkan karam selepas mengalami masalah janakuasa elektrik yang terjejas ketika melaksanakan pelayaran di Teluk Siam.

Janakuasa elektrik gagal berfungsi selepas air memasuki ekzos pada bahagian sisi kapal. Kejadian ini kemudiannya menyebabkan kapal gagal meneruskan pelayaran dan mula hilang kawalan.

Sehingga kini, seramai 6 orang anak kapal HTMS Sukhotai disahkan terkorban dan 23 lagi masih hilang.

Kapal kovet berusia 35 tahun ini merupakan salah satu daripada 2 buah kapal kelas RATANAKOSIN yang aktif dalam perkhidmatan RTN.

Berdasarkan kajian pada data terbuka, TLDM memiliki sejumlah kapal yang jauh lebih berusia daripada HTMS Sukhothai.

Ini merangkumi kapal kelas KASTURI yang mula berkhidmat pada tahun 1984 dan kelas LAKSAMANA yang dibina pada awal 1980-an.

Selain daripada itu, TLDM mengoperasikan sejumlah besar kapal yang ditauliahkan pada tahun 1970-an iaitu kelas PERDANA, kelas HANDALAN dan kelas JERUNG.

Kapal tertua yang masih dioperasikan adalah KD SRI PERLIS dan KD SRI JOHOR yang ditauliahkan pada akhir 1960-an. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply