TANAH MERAH, 18 Dis -Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 4 wanita warga Myanmar ditahan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas menyeberang Sungai Golok, semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) memaklumkan, kesemua PATI yang berusia 18 hingga 37 tahun itu ditahan selepas menyeberang Sungai Golok dengan menggunakan sampan di tebing sungai di Kampung Renap, pada jam 6 pagi.
Menurut 2 Div, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan dalam Operasi (Op) Benteng telah mengesan pergerakan 12 individu berkenaan.
“Menyedari kehadiran pasukan beroperasi, semua individu terbabit bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan,
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan memasuki negara ini melalui laluan haram,” jelas Mk 2 Div dalam kenyataan pada Sabtu.
Turut dirampas adalah seutas jam tangan, sebuah beg tangan, 11 unit telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Malaysia sebanyak RM130 dan mata wang Myanmar sebanyak 28,200 Kyats serta 11 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM8,739.40.
Kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
Tambah 2 Div, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI. -airtimes.my