Home PolitikBarisan Nasional Pembentukan Kabinet: UMNO tidak harus dipandang enteng – Annuar Musa

Pembentukan Kabinet: UMNO tidak harus dipandang enteng – Annuar Musa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Pemilihan wakil UMNO dalam Kabinet kerajaan perpaduan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mengikut keutamaan hierarki parti.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berharap agar Perdana Menteri dapat berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen BN.

“UMNO tidak harus dipandang enteng atau ‘to be taken for granted’,

“UMNO juga tidak harus diterima separuh-separuh. Umpama semangkuk gulai, jangan kuah diambil tapi isi nak dibuang,” kiasnya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh turut menegaskan, UMNO melalui keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat keputusan tuntas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Justeru beliau berkata, ia keputusan parti yang wajar dihormati, bukan sahaja oleh ahlinya, tetapi juga oleh Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan Perpaduan.

“Kabinet mesti berupa gabungan yang mampu menggalas tugas yang mencabar selepas ini,

“Yang penting Perdana Menteri perlu mempunyai pasukan berkerja yang mantap dan berwibawa. Rakyat menanti sesuatu yang baik untuk semua, sudah lama rakyat menanti,” tulisnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply