Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta di Tumpat

APMM rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta di Tumpat

by Nurulhuda

PASIR PUTEH, 1 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan telah menumpaskan cubaan menyeludup 1 juta batang rokok putih yang bernilai RM1 juta di Tumpat, Selasa lalu.

Pengarah APMM Negeri, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, kejayaan tersebut adalah hasil tindakan anggota bot peronda APMM yang mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak laju ke perairan muara Tumpat pada jam 3.30 pagi.

“Bot peronda melakukan kejar buru sehingga bot pancung memasuki perairan alur sungai Padang Tambun,

“Keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot peronda APMM terpaksa bergerak perlahan dan seterusnya meminta bantuan tim darat untuk membuat pencarian di kawasan sekitar untuk mencari bot pancung berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Syed Nor Adli berkata, semasa melakukan pencarian, pasukan APMM menemukan 2 buah lori di tebing Sungai Tambun dan dipercayai terdapat barangan seludup telah dipindahkan daripada bot yang dicari ke dalam lori tersebut.

“Pemeriksaan mendapati, lori pertama membawa 70 bungkusan plastik hitam dan 30 bungkusan plastik hitam pada lori kedua,

“Kesemua 100 bungkusan tersebut mengandungi lebih kurang satu juta batang rokok putih. Kesemua rokok ini disyaki tidak bercukai,

“Kedua-dua kenderaan tersebut dipercayai turut ditinggalkan apabila menyedari kegiatan mereka disedari APMM,” ujarnya lagi.

Menurutnya, rokok putih yang dirampas termasuk cukai dianggarkan bernilai RM1.045 juta.

Manakala nilai 2 lori pula dianggarkan berjumlah RM55,000. Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.1 juta.

Beliau turut berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dan percaya rokok yang ditemukan tersebut adalah untuk dipasarkan ke beberapa buah negeri.

Tambahnya, kesemua rokok putih dan 2 lori dirampas akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply