Home Politik Hubungan Persekutuan, Sarawak diperkukuhkan – Perdana Menteri

Hubungan Persekutuan, Sarawak diperkukuhkan – Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan lebih akrab dan diperkukuh di bawah kerajaan perpaduan.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar memaklumkan beliau telah menerima kunjungan Premier Sarawak, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama rombongan di rumahnya, pagi tadi.

“Gabungan Parti Sarawak atau GPS menjadi antara tunggak selain Barisan Nasional, Parti Warisan dan juga GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang membentuk kerajaan perpaduan yang dikemudi saya,

“Insya-Allah, hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan,” katanya yang turut berkongsi beberapa foto kunjungan itu.

GPS merupakan gabungan parti politik nasional Sarawak, yang terdiri daripada penggabungan 4 parti komponen tempatan Sarawak, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), telah berjaya memperolehi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Semalam, Anwar dalam sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya berkata, kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti 2 pertiga melalui penyertaan terkini GRS. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply