Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM mohon siri kedua HOM, laksana rondaan perairan Sabah dan Sarawak

TLDM mohon siri kedua HOM, laksana rondaan perairan Sabah dan Sarawak

by Bernama

KOTA KINABALU, 26 Nov – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang memohon perolehan siri kedua helikopter operasi maritim (HOM), bagi mengukuhkan rondaan keselamatan perairan serta ruang udara negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata permohonan dua lagi HOM itu, kini berada di peringkat Kementerian Pertahanan sebelum diangkat ke Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Beliau berkata HOM itu penting pada TLDM bagi pelaksanaan misi pengumpulan maklumat, pengawasan serta tinjauan di perairan, khususnya Sabah dan Sarawak dengan keluasan perairan meliputi 315,263 kilometer persegi.

“Mustahil untuk kapal TLDM dapat berada di setiap inci perairan terbabit pada setiap masa dan adanya helikopter baru ini, kapal TLDM mampu memperluaskan lagi jangkauan rondaan yang dilaksanakan,

“Ini bakal memberi kelebihan operasi yang signifikan demi memastikan kelestarian perairan negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan HOM ketiga TLDM di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar di sini hari ini.

Helikopter utiliti jenis AW139 bulatan Itali itu, dilengkapi radar pencarian RDR 1700A termasuk mesingan 12.7 milimeter.

Sementara itu, Mohd Reza turut berharap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat mempertimbangkan keperluan TLDM terutamanya membabitkan projek Littoral Combat Ship (LCS) dan projek Littoral Mission Ship (LMS) siri kedua, dapat direalisasikan.

“TLDM turut berharap kerajaan baharu ini dapat menyelaraskan bajet keselamatan daripada 1 peratus kepada 1.5 peratus (daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar) secara berperingkat, agar keupayaan pertahanan dapat disesuaikan dengan senario lanskap keselamatan.

“Cadangan bajet itu akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baru,” katanya lagi.

Beliau berkata TLDM juga yakin bahawa kerajaan dapat menyediakan aset-aset serta kelengkapan kritikal pada TLDM secara berperingkat. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply