KUALA LUMPUR, 20 Nov – Barisan Nasional (BN) tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama dengan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan.
“Kesemua Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada saya selaku Presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen.
“Ia selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, partinya bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada BN, PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.-airtimes.my