Home PolitikBarisan Nasional MCA hilang kepercayaan terhadap Zahid terajui BN

MCA hilang kepercayaan terhadap Zahid terajui BN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA menegaskan bahawa telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Ahmad Zahid perlu melepaskan jawatan Pengerusi BN yang secara terhormat bagi memberikan laluan kepada pemimpin baharu untuk mengambil alih pucuk pimpinan BN sekali gus menentukan hala tuju parti.

Beliau berkata, MCA juga kecewa dengan keputusan Ahmad Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada malam ini.

“MCA juga terkejut dan kecewa atas keputusan Ahmad Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada malam ini,

“Pada masa yang sama, MCA berpendapat bahawa pemangku Pengerusi BN perlulah memanggil Mesyuarat Dewan Tertinggi dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Keputusan PRU15 malam tadi menyaksikan pencapaian terburuk BN dalam sejarah dengan hanya memenangi 30 kerusi selain gagal mempertahankan kubu kuat parti itu.

Sin Woon turut menegaskan, Mesyuarat Dewan Tertinggi perlu dilakukan dengan segara bagi membincangkan hala tuju parti itu.

“Pada masa keadaan politik negara masih tidak stabil dan tidak menentu selepas PRU15 baru-baru ini, keperluan Mesyuarat Dewan Tertinggi adalah amat terdesak untuk membincangkan situasi politik terkini dan membuat keputusan BN sebagai satu blok,” ujarnya.

Dalam pada itu Sin Woon turut menegaskan, tiada mana-mana pihak berhak mewakili BN untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi gabungan itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply