Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Muhyiddin yakin cukup sokongan jadi Perdana Menteri

Muhyiddin yakin cukup sokongan jadi Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin memperoleh bilangan sokongan mencukupi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membolehkannya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu adalah berdasarkan pertemuan beliau dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg pagi tadi berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Beliau telah memaklumkan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GPS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10,” ujarnya.

Muhyiddin turut menjelaskan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang turut menyatakan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GRS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan itu.

Tambahnya, beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen sama.

“Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa saya akan memperolehi bilangan sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri ke-10 sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply