Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM atur gerak aset, anggota bantu mangsa banjir di Meru

ATM atur gerak aset, anggota bantu mangsa banjir di Meru

by Nurulhuda

KLANG, 12 Nov – Hujan yang telah melanda daerah di Selangor selama beberapa hari telah menyebabkan paras air sungai meningkat.

Peningkatan air tersebut telah mengakibatkan beberapa kawasan rendah di Klang iaitu di Kampung Johan Setia dan Pekan Meru dinaiki air.

Justeru, dengan berdasarkan prinsip First On Site dan First Responder, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Briged Kesebelas Infantri Malaysia (11 Bgd) telah mengaturgerakan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (25 RAMD) ke lokasi berkenaan pada Jumaat.

“Seorang pegawai dan 12 anggota 25 RAMD telah diaturgerakkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru bagi memberi bantuan kepada mangsa terjejas,

“Selain itu juga, 11 Briged turut menempatkan seorang pegawai di Bilik Gerakan Banjir di Pejabat Tanah dan Daerah Klang bagi menilai keadaan banjir serta keperluan untuk mengaturgerakan trup membantu di kawasan terjejas,” jelas Markas 11 Bgd menerusi hantaran di media sosialnya malam tadi.

2 daerah yang telah terjejas dengan bencana banjir ini melibatkan daerah Klang dan Petaling. Seramai 807 mangsa dari 190 keluarga telah dipindahkan ke 4 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan berkenaan.

Jelas Markas 11 Bgd, bantuan kemanusiaan sebegini adalah selaras dengan Perkara Kelima di dalam Perintah Ulung Panglima 11 Briged iaitu Peningkatan Hubungan Tentera dan Awam.

“Ia juga sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera dengan Awam,

“Diharapkan dengan bantuan ini dapat memudahkan pentadbiran dan meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir,” jelas hantaran itu.

Pada Khamis, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan, semua jentera dan agensi terlibat bersiap sedia dan telah digerakkan ke kawasan yang dilanda banjir kilat di negeri itu.

Beliau berkata, aset serta jentera dari pihak Bomba dan Penyelamat sedang diaturgerakkan.

“Manakala Pihak berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Bencana Daerah bersiap sedia,”ujarnya.

Sebanyak 8 kawasan di sekitar Meru dilanda banjir kilat berikutan hujan tanpa henti sejak 3 petang Khamis.

8 kawasan itu ialah di Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan dan Taman Daya.

Selain itu air juga melimpah di Jalan Khamis, Jalan Jabar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply