Home Semasa Gangguan LRT: Firma bebas dilantik siasat jika ada unsur sabotaj – Wee Ka Siong

Gangguan LRT: Firma bebas dilantik siasat jika ada unsur sabotaj – Wee Ka Siong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik syarikat perunding bebas untuk melihat semua semua aspek termasuk kemungkinan terdapat unsur sabotaj terhadap gangguan perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sehingga terpaksa memberhentikan perkhidmatan sejak Rabu lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sejak hari pertama, beliau sudah berbincang dengan Prasarana Malaysia Berhad (Pransarana) supaya melihat punca masalah itu secara menyeluruh, bukan hanya terhad kepada aspek teknikal.

“Setakat ini, ia disebabkan masalah sistem dan signaling. Bagaimanapun, kita ambil keputusan untuk melantik firma perunding yang disegani di peringkat antarabangsa untuk menjadi konsultan bagi melihat aspek ini, termasuk apa yang dinyatakan (kemungkinan unsur sabotaj),” katanya dalam sidang media di Kompleks Rapil Rail Subang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail, Amir Hamdan.

Beliau berkata, pemeriksaan sistem Vehicle Control Centre (VCC) mendapati sistem LRT tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan menyebabkan kemudahan itu terpaksa dihentikan.

Jelasnya, pakar dan jurutera luar negara Thales Group Kanada turut membantu pasukan jurutera Rapid Rail pelaksanaan penukaran modem dan peranti ‘power supply’ bagi memastikan LRT Laluan Kelana Jaya boleh beroperasi semula.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, bahawa ujian rel yang terlibat masih perlu dilakukan esok.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga perlu memperakui pengesahan pakar Thales Group bahawa landasan rel itu selamat dan stabil untuk digunakan sebelum kami boleh menyambung semula operasi,

“Sekiranya tiada lagi masalah, kami akan menyambung semula perkhidmatan dengan Prasarana membuat pengumuman pada pukul 6 petang sehari sebelumnya,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan terhadap punca kerosakan sistem kawalan kereta api automatik (ATC) masih tidak dapat dihuraikan pada masa ini.

Prasarana Malaysia Berhad berkata ia meminta bantuan daripada Thales Group, yang merupakan pengilang asal peralatan itu, untuk kepakarannya bagi menyiasat isu itu.

Tambah Menteri Pengangkutan sementara itu, ujian yang berlangsung esok akan menyaksikan tren berkenaan akan menjalankan perkhidmatan sepanjang hari penuh di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Pada Rabu, Rapid Rail Sdn Bhd megumumkan perkhidmatan LRT dari stesen Ampang Park sehingga stesen Kelana Jaya digantung selama 7 hari selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply