Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRU15: Usaha eksport ketum jika PN menang – Sanusi

PRU15: Usaha eksport ketum jika PN menang – Sanusi

by Nurulhuda

PENDANG, 8 Nov – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah akan berusaha mendapatkan kebenaran mengeksport daun ketum ke Thailand secara sah daripada kerajaan Persekutuan bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat di negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya optimis langkah itu boleh direalisasikan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

“Insya-Allah, Perdana Menteri kita yang ke-10 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) nanti akan mengusahakan sesuatu untuk penanam-penanam ketum, kita akan usaha sampai jadi,

“Saya yakin hal ini akan dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan selepas ini. Kita ini negeri miskin, kalau jual ketum di sini RM30 sekilogram (kg) dan kalau seludup jual di Siam (Thailand) jadi RM150,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN Best dan Manifesto PN Negeri Kedah, malam tadi.

Majlis itu dilancarkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhammad Sanusi berkata, usaha itu hampir menjadi realiti sebelum ini namun tertangguh setelah kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

“Sebab itu kita perlu benarkan eksport ketum ini (secara sah), hari itu dekat-dekat hendak jadi, tetapi mereka bubar Parlimen pula. Kalau tak, semua orang (yang tanam) di Pendang ini sudah jadi jutawan,

“Kalau tak benarkan ada yang rebus di rumah orang beli sampai jadi hitam kulit (minum), lepas itu kepala pening. kita tak mahu orang kita ‘rosak’,

“Apabila kita eksport ke sana mereka akan proses jadi ubat, minuman berkhasiat dan pelbagai teknologi lagi ada untuk tujuan kesihatan. Ada juga kes orang seludup daun ketum lari sehingga jatuh gaung dan mati. Kalau dia tak perlu lari mungkin dia hidup sampai sekarang,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, lesen mengeksport daun ketum dicadangkan diberi kepada anak syarikat kerajaan negeri atau syarikat tertentu supaya ia dapat dikawal jika aktiviti eksport dibenarkan.

“Bukan saja orang Pendang boleh jadi jutawan, malah orang Sik dan Padang Terap juga boleh kaya, tapi sesiapa yang tak tanam lagi jangan tanam, tunggu dulu,” tegasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply