PADANG BESAR, 18 Nov – Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menahan dan merampas 11 guni mengandungi daun ketum yang cuba diseludup ke negera jiran melalui jalan tikus di kawasan Chuping, Padang Besar, semalam.
Pegawai Pemerintah Medan, PGA Batalion 3, Supt Rosman Kasman dalam kenyataan berkata, operasi ini telah mendapat kerjasama daripada Team Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, ATM.
“Rampasan tersebut dibuat setelah team dron mengesan sebuah motorsikal dan sebuah pickup jenis 4×4 yang mencurigakan di sebelah pagar keselamatan negara jiran manakala sebuah pickup serta 2 buah motosikal berhampiran dengan jalan keselamatan di Malaysia,
“Hasil pemeriksaan menjumpai sebuah kenderaan 4×4 jenis Isuzu Trooper bersama 11 muatan guni mengandungi daun hijau dibalut plastik disyaki daun ketum yang tujuannya untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan tikus di sempadan,
“Semua guni putih mengandungi daun ketum bersama kenderaan pickup Isuzu Trooper telah dirampas dan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut,
“Hasil pemeriksaan, jumlah berat daun ketum adalah 363 kilogram yang dianggaran bernilai RM23,890,” katanya.
Beliau berkata, dengan bantuan unit dron di kawasan sempadan maka semua petugas di lapangan dapat mencegah aktiviti penyeludupan dan bertindak cepat.
Manakala, pada 16 November lalu, sepasukan unit risik PGA bersama anggota melakukan serang hendap di kawasan jalan keselamatan Chuping, Padang Besar dan berjaya menahan 2 lelaki Melayu bersama 7 guni putih mengandungi daun hijau disyaki daun ketum.

Pasukan Batalion 3 PGA turut menahan 2 lelaki Melayu bersama 7 guni daun ketum pada 16 November 2020.
“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan selanjutnya. Hasil pemeriksaan, jumlah 230kg daun hijau disyaki ketum yang dianggarkan bernilai RM6900 dirampas dalam operasi tersebut,” tambahnya.
Kedua-dua kes ini disiasat dibawah 30(3) Akta Racun 1952. Jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi 4 tahun atau kedua-duanya.
Pada masa yang sama, Rosman turut menyeru penduduk setempat untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa. – airtimes.my