Home Semasa Insiden rempuhan Itaewon: Tiada warganegara Malaysia terkorban

Insiden rempuhan Itaewon: Tiada warganegara Malaysia terkorban

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Kementerian Luar Negeri mengesahkan sehingga kini, tiada warganegara Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden rempuhan di Itaewon, Republik Korea pada Sabtu lalu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Sri Saifuddin Abdulah bagaimanapun menjelaskan, terdapat seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan cedera telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Joogang, Seoul dan kini berada dalam keadaan stabil.

Jelasnya, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul telah menghubungi beliau bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Pihak Kedutaan juga telah menghulurkan bantuan konsular termasuk memudahcara urusan perjalanan kedua-dua ibu dan bapa mangsa ke Republik Korea,” jelasnya dalam kenyataan, pada Rabu.

Saifuddin menjelaskan, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus memantau insiden tersebut dan akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

“Warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden berkenaan dan memerlukan bantuan konsular adalah dinasihatkan untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Seou dengan kadar segera,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan sekurang-kurangnya 153 orang disahkan maut dan 103 lagi cedera dalam kejadian rempuhan semasa sambutan Halloween di daerah Itaewon itu.

Jumlah warga asing terkorban pula mencecah 20 mangsa termasuk empat dari China dan Iran; Russia (3); di samping masing-masing satu dari Amerika Syarikat (AS), Perancis, Vietnam, Uzbekistan, Norway, Kazakhstan, Sri Lanka, Thailand dan Austria, seperti yang dilapor Agensi Berita Yonhap.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply