Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 91 RAJD laksana latihan perairan, siap sedia hadapi musim tengkujuh

91 RAJD laksana latihan perairan, siap sedia hadapi musim tengkujuh

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=EuoUFh8ZY9A[/embedyt]

 

SUNGAI BESI, 21 Okt – Pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) telah melaksanakan latihan perairan bagi menilai kompetensi anggota dalam mengendalikan peralatan sebagai persiapan untuk diaturgerakkan bagi membantu pihak berkuasa awam menghadapi bencana banjir.

Penolong Pegawai Memerintah 91 Rej Bantuan RAJD, Leftenan Kolonel Suraihan Md Lani berkata, latihan ini dilaksanakan bagi memperkasa pengetahuan, skil dan atitud anggota khususnya dalam aspek perancangan, atur gerak serta pelaksanaan operasi.

Menurutnya, latihan kepakaran yang dilaksanakan kali ini juga adalah untuk menguji tahap keupayaan anggota 91 Rej Bantuan RAJD khususnya dalam mengendalikan Bot Tempur, Out Boat Motor (OBM) serta Floating Platform (jetfloat).

“Latihan seperti ini adalah untuk memahirkan anggota dalam pengendalian OBM, selain menilai kompetensi anggota dalam mengendalikan peralatan perairan,

“Selain itu, latihan ini juga adalah sebagai persiapan warga 91 Rej Bantuan RAJD bagi menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini dan bencana banjir yang mungkin berlaku,

“Latihan ini juga sebagai persiapan anggota dan peralatan untuk diaturgerakkan bila-bila masa sahaja dalam masa yang cepat serta pantas,” jelasnya kepada Air Times di Tasik Marin, Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), pada Khamis.

Menurutnya, hampir 80 orang anggotanya termasuk pegawai telah terlibat dalam latihan pada kali ini yang dilaksanakan secara teori dan praktikal.

“Anggota ini adalah anggota yang disediakan untuk diaturgerakkan dalam Operasi Murni (Op Murni) sekiranya diarahkan,

“Pasukan siap siaga ini dibahagikan kepada 2 kumpulan, dimana setiap kumpulan mempunyai seramai 25 orang termasuk anggota bantuan seperti pemandu dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, latihan seperti ini mampu meningkatkan keyakinan serta kompetensi setiap anggota dalam melaksanakan operasi membantu menyelamat mangsa-mangsa banjir supaya ianya dapat dilakukan dengan lebih baik.

“Saya juga berharap agar semua anggota dapat melaksanakan tugas khususnya dalam Op Murni bagi membantu pihak berkuasa awam dalam operasi menyelamat mangsa-mangsa banjir walau terdapat beberapa cabaran dan halangan,

“Walaupun terdapat beberapa kekurangan keupayaan dari segi peralatan, saya yakin dengan skil dan keyakinan serta kebolehan anggota menyelenggara peralatan yang ada, kita yakin dapat melaksanakan tugas dengan baik,

“Kami juga sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan peralatan ini supaya ia dapat digunakan ketika diperlukan,”ujarnya.

Suraihan turut menjelaskan, sebelum ini pasukannya lebih fokus kepada operasi penyeberangan sungai serta pemasangan jambatan Compact Bailey 200.

“Sebelum ini pasukan telah membuat latihan yang menjurus kepada penyeberangan sungai dan latihan pemasangan jambatan Compact Bailey,

“Manakala pada tahun ini, pasukan membuat latihan seperti ini dan ia merupakan latihan yang pertama di Tasik Marin UPNM bagi menyediakan anggota sekiranya diperlukan kelak,” ujarnya.

Jelasnya, sebelum ini pasukan 91 Rej Bantuan RAJD pernah membantu kerajaan negeri menerusi operasi pemasangan jambatan Compact Bailey 200 di Raub dan Maran pada awal tahun 2021 kerana jambatan yang sedia ada musnah akibat banjir.

“Pasukan telah mengaturgerakkan anggota dan aset bersama 2 set jambatan Compact Bailey 200 di kedua-dua kawasan bagi membantu penduduk setempat,

“Manakala pada awal tahun 2022, pasukan juga telah terlibat dalam Op Murni iaitu di kawasan Shah Alam dalam membantu operasi menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut,” katanya.

Ketika pasca banjir pula, beliau menjelaskan, anggotanya turut terlibat membantu agensi awam dalam proses pembersihan kawasan di sekitar Shah Alam, Hulu Langat, Banting dan Cheras.

“Dalam aspek pasca banjir, kebiasaannya pasukan membantu pihak-pihak berkuasa awam atau agensi awam dalam pembersihan kawasan, membantu pembinaan semula kemudahan-kemudahan awam supaya boleh digunakan semula,” tambahnya.-airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply