Home PolitikBarisan Nasional ‘Keputusan PAS sudah dijangka’ – Zahid Hamidi

‘Keputusan PAS sudah dijangka’ – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Keputusan PAS untuk terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dijangkakan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan keputusan PAS untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) akan terus bergerak solo.

“Dengan keputusan ini, UMNO bersama BN akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” jelas Zahid dalam kenyataan malam tadi.

Dalam kenyataan yang sama, Zahid turut menjelaskan, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dan perkara tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Khamis.

Media sebelum ini turut melaporkan Ahmad Zahid meletakkan 3 syarat untuk dipenuhi PAS sebelum UMNO kembali berunding dengan parti itu.

3 syarat berkenaan ialah PAS perlu keluar daripada gabungan PN; PAS perlu memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan serta bukan hanya sekadar retorik politik.

Sementara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, keputusan PAS untuk kekal bersama PN menyuntik semangat kepada gabungan itu bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu padu dalam meraih sokongan rakyat.

“Secara peribadi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan rakan-rakan pimpinan PAS yang terus istiqamah mempertahankan kerjasama PAS dalam PN,

“Saya mendoakan semoga PN mendapat mandat rakyat dalam PRU-15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” jelasnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya malam tadi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply