KUALA LUMPUR, 8 Okt – PAS telah membuat ketepatan dengan berpendirian untuk terus bekerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ‘komitmen’ ketiga-tiga parti teras-Melayu seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.
“PAS berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan BERSATU, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum itu, PAS mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur bagi membincangkan berkaitan pilihan raya serta memuktamadkan kerjasama antara UMNO dan BERSATU.
Ia susulan UMNO sebelum ini menetapkan 3 syarat untuk bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU15.
Sementara itu, Abdul Hadi turut menegaskan bahawa PAS yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, ia bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca COVID-19. -airtimes.my