PUTRAJAYA, 1 Okt – Kementerian Luar Negeri hari ini menyatakan seramai 261 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja luar negara telah berjaya diselamatkan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, 171 rakyat Malaysia telah berjaya dibawa pulang sementara 90 lagi sedang menunggu proses penghantaran pulang.
Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra menyatakan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Perwakilan negara-negara terlibat pada 30 September.
“Pertemuan ini bertujuan memaklumkan pendirian Kerajaan Malaysia yang prihatin dan memandang serius isu ini,
“Di samping itu, pertemuan ini merupakan usaha berterusan Kerajaan untuk mendapatkan kerjasama negara-negara yang terlibat dalam menggiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, delegasi perwakilan asing yang terlibat dalam pertemuan itu telah menyatakan komitmen Kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu ini.
“Pada masa yang sama, Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand telah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu ini secara cepat dan tuntas,
“Wisma Putra dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama yang lebih rapat di antara PDRM dengan pihak berkuasa negara-negara yang berkenaan melalui pertemuan khusus bagi menangani isu ini
“Perbincangan dengan pihak K-KOM telah diadakan untuk menyediakan Pelan Komunikasi yang lebih komprehensif dalam memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai serta golongan sasaran supaya tidak mudah terpedaya dan terjebak dalam sindiket ini,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my