Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM buktikan KD LEKIR masih gagah harungi lautan separuh lilitan dunia

TLDM buktikan KD LEKIR masih gagah harungi lautan separuh lilitan dunia

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=D7TXotmfVEY[/embedyt]

 

LUMUT, 3 Sept – Selepas 97 hari pelayaran, KD LEKIR akhirnya tiba di Tambatan Pangkalan Lumut, hari ini.

Kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tersebut telah meninggalkan pangkalan ini bermula 30 Mei yang lepas bagi mengharungi cabaran dan membawa nama Malaysia untuk terlibat dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis berkata, kejayaan KD LEKIR mengharungi cabaran pelayaran serta melaksanakan setiap siri latihan sepanjang eksesais ini tanpa gagal adalah sesuatu yang perlu dibanggakan oleh kesemua warga TLDM.

“KD LEKIR merupakan kapal kombatan TLDM yang berusia hampir 40 tahun. Dengan usia sebegini KD LEKIR masih gagah mengharungi lautan terbuka selama 62 hari dengan jarak menghampiri separuh dari ukuran lilitan dunia sepanjang penugasan bagi eksesais ini,

“Kapal juga berjaya berada di laut selama 12 hari mengharungi pelayaran dari Guam ke Hawaii. Sepanjang fasa latihan di laut bagi eksesais ini, kapal telah belayar selama 24 hari di laut dengan melaksanakan ulang bekal minyak bersama-sama dengan kapal-kapal pembekal dari negara sahabat,

“Apa yang amat membanggakan, kapal tidak menghadapi sebarang kerosakan atau masalah besar sepanjang pelayaran,” katanya semasa majlis Sambutan Kepulangan KD LEKIR di Tambatan Pangkalan Lumut, hari ini.

Abu Bakar turut menjelaskan, kejayaan KD LEKIR dalam melaksanakan penembakan peluru berpandu Exocet MM 40 Block II bersama-sama kapal pembinasa dari Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan adalah sesuatu yang membanggakan bukan hanya warga TLDM tetapi rakyat Malaysia.

“Ini merupakan kejayaan pertama kapal TLDM melaksanakan penembakan peluru berpandu di luar perairan Malaysia,

“Kejayaan di dalam memastikan kesiagaan KD LEKIR bukanlah sesuatu yang biasa, ianya adalah hasil dari budaya senggaraan yang diamalkan oleh TLDM demi memastikan kesiagaan armada berada di tahap yang tertinggi,

“Ini termasuk juga program Mid Life Upgrade KD Lekir yang telah dilaksanakan pada tahun 2009 bagi memastikan jangkamasa perkhidmatan kapal ini mampu dipanjangkan sehingga tahun 2030,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekembalinya KD Lekir setelah negara meraikan sambutan Kemerdekaan pada 31 Ogos yang lepas adalah sangat manis bagi warga TLDM.

“Ia kerana misi ini tercapai didalam mengharumkan nama negara di persada dunia dengan selamat dan jayanya sebelum hari kemerdekaan,

“Semoga pencapaian KD LEKIR ini akan menjadi penanda aras dan penyuntik semangat bukan sahaja kepada kapal-kapal TLDM malahan kepada semua The Navy People,

“Kejayaan KD LEKIR ini juga membuktikan tiada yang mustahil. Syabas sekali lagi kepada keluarga KD LEKIR dan mereka yang terlibat dalam memastikan kejayaan misi ini,

“Buat KD LEKIR kamu semua sebenarnya kebanggaan kepada Malaysia di Bulan Merdeka ini,” ujarnya.

RIMPAC merupakan latihan peperangan maritim berskala besar anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat.

Eksesais ini melibatkan 26 buah negara, 38 kapal permukaan, 3 buah kapal selam, 170 buah pesawat udara serta lebih 30 sistem senjata tanpa pemandu termasuk 25,000 peserta. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply