TELUK RAMUNIA, 3 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah memberkas 5 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di sekitar Jalan Teluk Ramunia, awal pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mereka diberkas dalam Operasi Benteng (Op Benteng) kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).
Menurut 3 Div, pihaknya telah berjaya menahan 5 orang PATI yang terdiri daripada 4 orang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang berumur di antara 25 tahun sehingga 43 tahun.
“Melalui maklumat perisikan, tim Quick Reaction Force (QRF) telah mengesan pendaratan individu disyaki PATI yang sedang bersembunyi di pinggir hutan Jalan Teluk Ramunia,
“Tim QRF telah bertindak lalu berjaya menahan 2 orang individu yang merupakan warga Negara Indonesia serta tidak memiliki dokumen yang sah,
“Semasa penggeledahan, tim QRF telah mengesan dan berjaya menahan 3 lagi individu di lokasi berhampiran,” jelas kenyataan itu.
Ketiga-tiga individu tersebut merupakan warga negara Indonesia yang ingin kembali pulang ke Indonesia tanpa memiliki dokumen yang sah.
“Kesemua seterusnya dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi serta laporan kepada pihak Polis,
“Mereka telah dibuat saringan COVID-19 pada jam 11.30 pagi di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI negatif COVID-19,” tambah kenyataan itu.
Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM9,380.19 melibatkan wang tunai dalam mata wang Malaysia, Indonesia, Singapura, China, dan 3 utas jam tangan termasuk 7 buah telefon bimbit yang terdiri daripada pelbagai jenama.
Dalam masa yang sama, 3 Div menjelaskan, pasukan akan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron ATM serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.-airtimes.my