Home Semasa Orang ramai dilarang terbangkan dron pada sambutan Hari Kebangsaan 2022

Orang ramai dilarang terbangkan dron pada sambutan Hari Kebangsaan 2022

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Orang ramai dinasihatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan oleh pihak berkuasa bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 dapat diraikan dengan selamat di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi hantaran di laman sosialnya berkata, perkara ini juga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalankan penerbangan formasi rendah di kawasan tersebut.

“Suka diingatkan bahawa semua pengendalian aktiviti dron di negara ini adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Aviation Directives (CADs),

“Penalti bagi kesalahan mengikut peraturan sedang kuat kuasa adalah Seksyen 4 Akta 3: Didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,

“Bagi peraturan 206(3) MCAR 2016, jika orang itu ialah seorang individu, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya; atau jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000,” katanya semalam.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply