KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa wanita yang dikaitkan dengan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) iaitu Zainab Mohd Salleh bukan isterinya.
“Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh,
“Tiada ahli keluarga saya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS,
“Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)…saya suka makan ikan…tapi bukan ikan jerung,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Menerusi hantaran Ahli Parlimen Mersing itu, beliau turut meninggalkan sebuah pantun yang berbunyi:
Siakap senohong gelama ikan duri,
Cakap bohong lama lama jadi pencuri,
Siakap senohong gelama ikan jerung,
Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.
Sebelum ini, Abd Latiff telah menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isterinya yang terlibat didalam siasatan projek LCS.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd Latiff.
Beliau mendakwa, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Abd Latiff. – airtimes.my