Home Pertahanan dan Keselamatan Polis rampas dadah bernilai RM30.8 juta, tahan 3 warga emas di Bentong

Polis rampas dadah bernilai RM30.8 juta, tahan 3 warga emas di Bentong

by Nurulhuda

BENTONG, 26 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 841.06 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggar bernilai RM30.8 juta dalam 2 serbuan di sekitar daerah ini pada 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket tersebut dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran bagi pasaran antarabangsa serta tempatan.

Menurutnya, dalam serbuan antara jam 9 malam hingga 11 malam itu, pihaknya berjaya menahan 3 lelaki warga emas berusia 61, 62 dan 63 tahun di tepi jalan di kawasan Kampung Bukit Tinggi.

“Hasil serbuan yang dijalankan, PDRM telah berjaya merampas sejumlah 841.06 kg dadah jenis syahbu yang dianggarkan bernilai RM30.8 juta,

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 4,205,000 orang penagih dadah,

“Menerusi serbuan itu juga, pihak polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock di dalam kereta suspek serta satu laras senjata api tiruan bersama 4 kelopak peluru, 50 butir peluru hidup, 17 butir peluru 12 bore, dan 2 batang besi barrel,” katanya pada Khamis.

Ramli menjelaskan, sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2022 dan dipercayai mengambil dadah dari luar dan menjadikan rumah terbabit sebagai tempat simpanan serta pembungkusan sebelum diedarkan.

Tambahnya, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dianggarkan bernilai RM5,000, wang tunai berjumlah RM1,564 dan wang di dalam akaun bank RM6,623.65 turut dirampas dalam serbuan tersebut.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan barang sitaan berjumlah RM30.81 juta.

“Ketiga-tiga suspek yang merupakan warganegara tempatan itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos ini,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan operasi ini telah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply