NEW DELHI, 8 Ogos – Kementerian Pertahanan India telah menawarkan untuk menjual 18 pesawat tempur ringan (LCA) Tejas kepada Malaysia, pada Jumaat.
Memetik laporan Reuters, Kementerian Pertahanan India juga memaklumkan bahawa Argentina, Australia, Mesir, Amerika Syarikat, Indonesia dan Filipina turut berminat dengan pesawat Tejas itu.
Kerajaan India tahun lalu memberikan kontrak AS$6 bilion kepada syarikat milik kerajaan, Hindustan Aeronautics Ltd (HIAE.NS) untuk 83 daripada pesawat Tejas keluaran tempatan untuk penghantaran bermula sekitar 2023, 4 dekad selepas ia mula diluluskan pada 1983.
Perdana Menteri, Narendra Modi, mahu mengurangkan kebergantungan India pada peralatan pertahanan asing.
India juga telah melakukan usaha diplomatik untuk mengeksport pesawat Tejas.
Katanya, Tejas sentiasa berdepan masalah reka bentuk dan cabaran lain serta pernah ditolak oleh Tentera Laut India kerana terlalu berat.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan India memberitahu Parlimen bahawa Hindustan Aeronautics pada Oktober tahun lalu telah memberikan jawapan kepada permintaan cadangan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk 18 pesawat tersebut dengan menawarkan menjual varian 2 tempat duduk Tejas .
“Negara-negara lain yang telah menunjukkan minat terhadap pesawat LCA itu adalah Argentina, Australia, Mesir, Amerika Syarikat, Indonesia, dan Filipina,” kata Menteri Pertahanan Junior India, Ajay Bhatt kepada anggota parlimen dalam jawapan bertulis.
Ajay Bhatt berkata, negara itu juga sedang berusaha untuk mengeluarkan pesawat pejuang halimunan, namun enggan memberikan garis masa dengan memetik kebimbangan terhadap keselamatan negara tersebut.
Pada April lalu, Britain berkata, akan menyokong matlamat India untuk membina pesawat pejuangnya sendiri. India kini mempunyai pesawat pejuang dari negara Rusia, British dan Perancis.
India sedang berusaha untuk menghentikan semua pesawat pejuang Rusia era Sovietnya, MiG-21 menjelang 2025, berikutan beberapa kemalangan maut, lapor Times of India bulan lepas.