Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara TUDM dijangka peroleh pesawat tanpa pemandu MALE UAS pada 2025

TUDM dijangka peroleh pesawat tanpa pemandu MALE UAS pada 2025

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka akan memperolehi pesawat tanpa pemandu kategori Medium-altitude Long-endurance Unmanned Aircraft System (MALE UAS) pada 2025 dan akan mula beroperasi seawal 2026 bagi memperkukuh penguasaan domain udara Malaysia.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, Kementerian Pertahanan telah melengkapkan semua proses penilaian tender bagi perolehan MALE UAS untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Lembaga perolehan kementerian telah memperakukan petender yang dipilih dan ia dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) pada 7 Julai lepas untuk di muktamadkan, melalui maklumbalas terkini diterima dari pihak MoF keputusan perkara ini akan diketahui dalam bulan ini,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, bagi ekosistem penyelenggaraan pula akan dilaksanakan selepas tamat tempoh waranti daripada Original Equipment Manufacturer (OEM) berpandukan kepada konsep senggaraan yang akan ditentukan TUDM.

“Manakala perancangan perolehan persenjataan melalui Electronic Warfare (EW) bagi aset ini akan dilaksanakan pada fasa perolehan kedua dan ketiga dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe13) dan RMKe16,” ujarnya.

Ikmal Hisham menjawab soalan dari Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai status tender, perolehan, penyelenggaraan dan ekosistem penyelenggaraan, perancangan alatan persenjataan terkini pesawat terbang tanpa pemandu, kategori MALE UAS bagi kegunaan TUDM pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Manakala bagi menjawab soalan tambahan Awang Husaini Shahari (Warisan-Putatan) mengenai objektif perolehan MALE UAS dan dimana pesawat ini akan beroperasi.

Beliau berkata, pembangunan keupayaan MALE UAS adalah berlandaskan kepada Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) dan selari dengan Pelan Pembangunan 4 Dimensi Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) bagi menyokong Kertas Putih Pertahanan.

“Objektif utama MALE UAS adalah bagi melaksanakan misi risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR) untuk mengurangkan jurang keupayaan dalam menyalurkan informasi secara near real time (NRT) kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),

“Aset MALE UAS ini akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan bagi meningkatkan penguasaan domain udara TUDM khususnya dalam melaksanakan pengawasan di Laut China Selatan dan Pantai Timur Sabah,” jelasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply