Home PolitikPakatan Harapan “Lucu bila ‘katak-katak’ politik sokong RUU anti lompat parti” – Anwar Ibrahim

“Lucu bila ‘katak-katak’ politik sokong RUU anti lompat parti” – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jul – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Ahli Dewan Rakyat yang pernah ‘lompat parti’ dan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat pada Khamis sebagai melucukan, namun pada masa sama menyenangkan.

Menurutnya, keputusan majoriti 2 pertiga terhadap RUU itu jelas memberikan kemenangan besar buat rakyat dan melihatnya sebagai undang-undang anti khianat, anti belot dan anti menipu rakyat.

“Saya rasa lega kerana persefahaman menetapkan mesti ada usaha meluluskan RUU anti-lompat parti atau dengan istilah yang lebih tepat, iaitu anti khianat, belot, menipu rakyat,

“Tapi yang melucukan semalam, daripada 209 undi termasuk pendirian PH tersebut, orang-orang yang bersekongkol dalam pengkhianatan dan katak-katak, orang yang dianggap melompat parti pun turut mengundi, jadikan suatu perkara yang agak lucu tetapi menyenangkan,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau menyifatkan kelulusan itu sebagai kemenangan kepada rakyat dan berharap langkah itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat selepas mandat mereka dikhianati katak-katak politik.

“Apabila kita pilih… kita yakin Insya-ALLAH tidak lagi belot kerana ugutan, takut dengan tindakan, wang ringgit atau kedudukan,” tambahnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan, kelulusan RUU itu adalah sebahagian daripada ketetapan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diputuskan antara pihak pembangkang dengan kerajaan.

Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telah diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi 2 pertiga.

RUU itu diluluskan selepas perbahasan selama 2 hari membabitkan 54 Ahli Parlimen.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply