KUALA LUMPUR, 25 Jul – Sekurang-kurangnya 14 buah syarikat telah diambil tindakan oleh kerajaan kerana terlibat dalam penyelewengan bekalan minyak masak.
Perkara tersebut didedahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid semasa Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
“Yang telah ditarik balik, lebih 14 syarikat dan proses kehakiman berkaitan ketirisan dan penyeludupan telah diambil tindakan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Machang.
Sementara itu, Rosol menyatakan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mempertingkatkan usaha untuk mengenal pasti dan membendung ketirisan bekalan minyak masak bersubsidi.
“Kita pertingkatkan penguatkuasaan, pengintipan dan audit di semua syarikat yang telah diberi untuk membungkus minyak ini untuk pastikan tidak ada kebocoran,
“Kebocoran tersebut disebabkan dikesan dari repacker (pembungkus) dan pemborong ke luar negara. Dengan sistem audit ini, kita dapat lihat punca kebocoran dalam masa terdekat,” ujar beliau.
Terdahulu, Rosol menjelaskan kerajaan masih meneruskan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Subsidi untuk polybag 1 kilogram dengan harga runcit RM2.50.
Beliau menambah, kerajaan telah menamatkan subsidi sementara minyak botol 1 kg dan 5 kg pada 1 Julai lalu.
“Kerajaan sebelum ini telah memutuskan untuk beri subsidi sementara minyak botol 1kg dan 5kg pada Ogos 2021 sehingga Jun 2022 berikutan cabaran COVID-19 serta kenaikan mendadak harga minyak sawit mentah global,
“Subsidi diberikan oleh kerajaan untuk minyak masak 1kg dan 5kg adalah sebanyak RM382,102,451.71 untuk tempoh 11 bulan (semenjak 11 Ogos),” jelas beliau.
Jelasnya, subsidi minyak masak botol yang diberikan sebelum ini adalah bertujuan mengurangkan beban rakyat yang pada ketika itu terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 dan peningkatan harga minyak sawit mentah yang memberikan kesan secara langsung kepada harga pasaran minyak masak. – airtimes.my